Saham, mata wang ekonomi Asia lemah

Saham, mata wang ekonomi Asia lemah

HONG KONG, 16 Nov (Reuters) – Saham Asia jatuh ke paras terendah dalam masa enam minggu pada Isnin (16 Nov), sementara mata wang pasaran baru muncul layu ekoran pelabur mencari keselamatan dalam dolar Amerika berikutan serangan maut di Paris Jumaat lalu (13 Nov) dan data ekonomi lemah.

Indeks paling luas saham Asia Pasifik di luar Jepun MSCI jatuh lebih 1 peratus semasa dagangan awal, selepas kejatuhan 3 peratus minggu lepas.

Indeks Straits Times Singapura susut 0.8 peratus ke paras 2,902.40 pada 11.08 pagi.

Kemerosotan diketuai indeks saham Nikkei, yang jatuh hampir 1.3 peratus, hampir menghapuskan keuntungan 1.7 peratus minggu lepas, apabila data ekonomi jatuh melebihi jangkaan.

Data yang dikeluarkan sebelum pasaran Tokyo dibuka menunjukkan ekonomi Jepun susut kembali ke dalam kemelesetan pada suku Julai-September, menguncup 0.8 peratus berbanding 0.2 peratus yang dianggarkan.

pg19_151117_a

Dalam pasaran mata wang, euro jatuh kira-kira 0.5 peratus kepada AS$1.07205, selepas prestasi mendatar minggu lepas. Ia turun 0.5 peratus berbanding yen pada kadar ¥131.24.

Di Kuala Lumpur, ringgit jatuh ke paras paling rendah dalam masa enam minggu pada pagi Isnin (16 Nov) di tengah-tengah kegiatan mengelak risiko selepas serangan pengganas di Paris dan kebimbangan ekonomi Malaysia akan terus lembap.

Ringgit susut 0.4 peratus ke 4.3905 bagi setiap dolar Amerika pada 9.51 pagi di Kuala Lumpur, mengikut harga daripada bank-bank tempatan yang dikumpul oleh Bloomberg.

Berbanding dolar Singapura, ringgit merosot ke 3.0822 bagi setiap dolar pada 10.53 pagi, berbanding 3.0763 pada Jumaat lalu.