Saham Samsung merosot akibat masalah Note 7

Saham Samsung merosot akibat masalah Note 7

SEOUL, 12 Sept – Saham Samsung merosot hari ini selepas syarikat elektronik Korea Selatan itu menggesa pengguna global supaya berhenti menggunakan telefon pintar Galaxy Note 7 disebabkan beberapa kejadian bateri meletup yang menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia.

Mempertingkat amarannya, pengeluar telefon pintar terbesar di dunia itu hari ini memberitahu pengguna Note 7 di seluruh dunia supaya menutup peranti itu dengan serta merta.

Samsung Electronics pada 2 September telah mengumumkan penarikan balik “phablet” selepas bateri rosak menyebabkan beberapa handset terbakar ketika dicaj.

Sejak itu, syarikat penerbangan dan agensi keselamatan udara di seluruh dunia mengingatkan penumpang supaya jangan menggunakan mereka di dalam kapal terbang. Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS pada Jumaat menggesa pemilik Note 7 supaya berhenti menggunakan peranti berkenaan.

Saham dalam firma itu –yang terbesar di Korea Selatan berdasarkan nilai – telah merosot sebanyak 7.3 peratus di pasaran saham Seoul pada awal tengah hari kepada 1.46 juta won.

Seorang wanita melintasi iklan Samsung Galaxy Note 7 (Kiri) dan Galaxy S7 (Kanan) di salah sebuah kedai telefon bimbit di Seoul kelmarin. – AFP
Seorang wanita melintasi iklan Samsung Galaxy Note 7 (Kiri) dan Galaxy S7 (Kanan) di salah sebuah kedai telefon bimbit di Seoul kelmarin. – AFP

“Seluruh situasi mengenai Samsung sudah menjadi semakin serius dan rumit tatkala lebih banyak pihak berkuasa negeri di seluruh dunia menasihatkan rakyat supaya berhenti menggunakan Note 7,” kata Hwang Min-Sung, penganalisis di Samsung Securities.

Kesan sampingan daripada penarikan balik – yang membabitkan 2.5 juta handset yang dijual setakat ini di 10 buah negara – mungkin mengurangkan keuntungan firma pada akhir tahun ini sebanyak lebih satu trillion won, beliau mengingatkan.

Penarikan balik itu – yang pertama membabitkan telefon pintar Samsung – memberikan tamparan hebat kepada reputasi firma pada masa apabila ia menghadapi cabaran yang meningkat dalam semua segmen pasaran. – AFP