Saham Sharp jatuh selepas pengambilalihan

Saham Sharp jatuh selepas pengambilalihan

TOKYO, 26 Feb (AFP) – Saham Sharp menjunam hari ini, selepas syarikat multinasional Taiwan itu yang dimiliki Foxconn berkata ia akan menangguhkan pengambilan alih berbilion-bilion dolar untuk mengkaji semula maklumat baru yang diterimanya tentang syarikat gergasi Jepun yang bermasalah itu.

Para penganalisis gembira dengan usaha Hon Hai Precision bagi Sharp, pemerolehan asing pertama ke atas firma besar elektronik Jepun – yang hampir jatuh muflis selama bertahun-tahun.

Tetapi selepas pasaran ditutup semalam, Hon Hai, pembekal elektronik terbesar dunia mengatakan ia tidak akan memeterai perjanjian sehingga ia berpeluang untuk memahami maklumat baru yang diberikan oleh Sharp.

Ia enggan menyatakan butiran dokumen berhubung salah sebuah syarikat Jepun paling terkenal, peneraju dalam teknologi skrin telefon pintar.

Bagaimanapun Bloomberg News, dengan memetik daripada sumber yang mengetahui perkara ini mengatakan ia melibatkan kemungkinan penambahan liabiliti 300 bilion yen akan ditanggung oleh Hon Hai dalam pengambilan alih.

Sharp yang kini diambil alih oleh syarikat pembekal barangan elektronik terbesar dunia Foxconn. - AFP
Sharp yang kini diambil alih oleh syarikat pembekal barangan elektronik terbesar dunia Foxconn. – AFP

Media pada awalnya melaporkan nilai pembelian boleh mencecah 700 bilion yen, termasuklah hutang Sharp.

Akhbar harian niaga terkenal di Jepun, Nikkei melaporkan Foxconn mengetahui sebelumnya tentang kemungkinan liabiliti, yang dilaporkan mungkin termasuklah menyusun semula struktur kos dan pemberhentian pekerja.

Ia menambah kata bahawa Sharp telah menghantar eksekutif-eksekutif ke satu rundingan hari ini dengan para pegawai Hon Hai di tanah besar China, yang mana syarikat Taiwan itu mempunyai lebih sejuta kakitangan.

Perjanjian akan menyaksikan Hon Hai mengambil 65.9 peratus saham dalam Sharp bernilai 489 bilion yen.

Saham Sharp jatuh hari ini, 11.4 peratus kepada hampir 132 yen.