Saham syarikat penerbangan naik pada Julai

Saham syarikat penerbangan naik pada Julai

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Saham syarikat penerbangan meningkat empat peratus pada Julai berbanding bulan sebelumnya, dianjak oleh kejatuhan harga minyak serta keputusan kewangan suku kedua yang kukuh, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Menurut IATA dalam satu kenyataan hari ini, keputusan kewangan awal menunjukkan peningkatan besar keuntungan di semua rantau utama terutama di Amerika Syarikat (AS).

“Peningkatan itu dipacu oleh syarikat-syarikat penerbangan Amerika Utara yang mencatat peningkatan keuntungan disebabkan oleh pengukuhan dan kos bahan api lebih rendah. Syarikat penerbangan di Asia Pasifik dan Eropah juga menunjukkan keuntungan berbanding setahun lalu, disokong oleh langkah-langkah mengurangkan kos serta pengurangan tekanan kos bahan api,” katanya.

Data IATA yang berdasarkan sampel daripada 25 syarikat penerbangan bagi tempoh Jun hingga Julai itu terkandung dalam Laporan Pemantauan Kewangan Syarikat Penerbangannya. Pada Julai, harga minyak terus merosot, jatuh lima peratus berbanding Jun.

IATA berkata harga minyak mentah kini AS$53 setong atau jatuh 54 peratus daripada paras tinggi pertengahan 2014, dan mencerminkan jangkaan peningkatan bekalan dari Iran dan AS.

Ia berkata hasil penumpang di AS terus jatuh dan walaupun kejatuhan tambang di tempat lain telah berhenti, parasnya kekal jatuh 13 peratus berbanding setahun lalu. Ini mencerminkan tekanan daripada kemerosotan kos bahan api, pertumbuhan lebih kukuh dalam kapasiti berbanding permintaan serta herotan kadar tukaran asing.

Pertumbuhan volum pengangkutan udara pula menyederhana pada Jun namun aliran bagi 2015 kekal teguh manakala volum fret udara terus melemah disebabkan kemerosotan kegiatan perdagangan. Kadar pertumbuhan tempat duduk adalah cepat bagi Jun berikutan penyerahan pesawat baharu kepada armada operasi (152) berbanding Mei (122).

Menurut IATA, faktor muatan fret udara adalah stabil bagi Jun namun kekal paras terendah sejak pertengahan 2009 dan muatan penumpang susut sedikit memandangkan pertumbuhan kapasiti melebihi permintaan yang sederhana. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA