Saham Taipei merosot 583.85 mata

Saham Taipei merosot 583.85 mata

TAIPEI, 24 Ogos (AFP) – Saham Taipei merosot lebih daripada tujuh peratus hari ini dalam kemerosotan paling teruk di pulau itu, terjejas oleh kemelesetan dalan ekuiti China dan ekonomi domestik yang terbantut.

Kerugian dicatat di tengah-tengah keadaan kucar-kacir dalam saham di seluruh Asia, dipimpin oleh kemerosotan lapan peratus di Shanghai, selepas kebimbangan mengenai ekonomi China mencetuskan penjualan dalam pasaran kewangan global.

Saham Taipei merosot 583.85 mata kepada 7203.07 dalam perniagaan pagi, satu kemerosotan sebanyak 7.49 peratus, sebelum kembali kepada kemerosotan 4.86 peratus pada 0345 GMT.

Kerajaan Taiwan semalam mengenakan langkah-langkah untuk menstabilkan saham selepas kerugian besar baru-baru ini, termasuk pengharaman jualan pendek di bawah harga penutup sesi sebelumnya dan menggalak sektor perbankan supaya membeli semula saham mereka.

“Berdasarkan hubungan ekonomi yang erat dengan China, ekonomi lembap di China telah menjejas Taiwan dari segi ekonomi, diburukkan lagi oleh kejatuhan pasaran China,” beritahu Mason Li, ketua Badan Penasihat Pelaburan Sekuriti Taishin, kepada AFP.

Sebelumnya, hubungan dingin dengan China telah berpulih di bawah presiden Ma Ying-jeou, membawa kepada pemeteraian perjanjian perdagangan dalam usaha untuk merangsang ekonomi domestik.

Bagaimanapun, pertumbuhan Taiwan terus mencatat kemelesetan tatkala pertumbuhan di negara jirannya terbantut, dan tatkala syarikat tempatan bergelut untuk bersaing dengan pengeluar dan syarikat teknologi China.

“Pertambahan dalam rangkaian bekalan China bersaing dengan pembekal tempatan,” kata Li.

Taiwan mengurangkan ramalan pertumbuhannya untuk tahun 2015 pada bulan ini kepada 1.56 peratus, berkata ekonomi sedang kehilangan kekuatan disebabkan permintaan lemah dari luar negara dan persaingan yang lebih sengit dari China dalam sektor teknologi.