Saham Takata merosot akibat laporan muflis

Saham Takata merosot akibat laporan muflis

TOKYO, 11 Okt – Saham Takata merosot hari ini ekoran laporan mengatakan pengeluar beg udara Jepun, terjejas oleh penarikan balik keselamatan terbesar dalam industri kereta, sedang menimbang untuk memfailkan kemuflisan di Amerika Syarikat.

Dengan pelabur Tokyo kembali dari hujung minggu tiga hari, saham merosot hampir 11 peratus pada awal perniagaan sebelum berakhir pada 347 yen, merosot 7.46 peratus.

Kemerosotan merupakan satu respons kepada laporan Wall Street Journal bahawa syarikat itu sedang menimbang untuk memfailkan kemuflisan AS ‘sebagai satu opsyen’ – ia sedang menghadapi kos pampasan besar berhubung satu kerosakan yang dikaitkan dengan 16 kematian dan berpuluh kecederaan di seluruh dunia.

Firma itu mungkin berusaha mendapatkan perlindungan mahkamah hanya untuk divisyennya di AS, lapor Bloomberg News, memetik sumber yang rapat dengan perkara itu.

Kira-kira 100 juta beg udara Takata telahpun ditarik balik disebabkan kerosakan, yang boleh menyebabkan serpihan besi dan plastik berterbangan daripada kanister inflator pada pemandu dan penumpang apabila beg udara digunakan.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Nasional AS berkata risiko adalah paling besar di rantau panas dan lembap AS, seperti Florida, Texas dan Pantai Teluk.

Kebanyakan kematian telahpun dicatat di AS dan Malaysia.

Beberapa pengeluar kereta di Jepun berasa bimbang fail kemuflisan mungkin mengancam kemudahan mendapatkan dana operasi dan menjejaskan bekalan beg udara mereka, kata laporan Journal, memetik orang yang rapat dengan perkara itu.

Pada bulan lalu, saham firma merosot selepas Bloomberg News berkata firma ekuiti swasta dan pengeluar alat ganti kereta sedang menyediakan tawaran untuk syarikat, dan ada di antara mereka sedang menimbang mengambil tindakan kemuflisan mendadak untuk mengurangkan liabiliti.

Syarikat yang berpangkalan di Tokyo – salah satu pembekal alat ganti kereta terbesar di dunia – kini sedang menimbang bidaan daripada beberapa firma, termasuk daripada firma yang dibeli oleh AS KKR & Co dan pembekal bampar Flex-N;Gate Corp.

Pelanggan Takata, termasuk Honda, Volkswagen dan General Motors, mungkin menghadapi kos berjumlah berbilion dolar yang dikaitkan dengan penarikan balik dan liabiliti undang-undang. – AFP