Saham TNB jatuh

Saham TNB jatuh

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) – Saham Tenaga Nasional Bhd jatuh selepas pembekal tenaga itu mengumumkan pada Jumaat ia akan mengambil alih 70 peratus pegangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam Jimah East Power (JEP) daripada Suruhanjaya Tenaga.

TNB akan mengambil alih pembangunan dua loji tenaga 1,000MW berasaskan arang batu untuk RM46.98 juta melalui dana dalaman, berbanding kos pembangunan sebenar RM83.68 juta ditanggung 1MDB.

“Kami bersikap positif mengenai peningkatan enam hingga tujuh peratus dalam anggaran kos projek walaupun penyusutan ringgit 15 peratus berbanding dolar US tahun ini.

“Kenaikan 5.3 peratus dalam tarif kepada 26.67sen/kWh akan dapat menampung kos pembinaan yang lebih tinggi dan meningkatkan kadar pulangan dalaman projek berkenaan,” kata Hong Leong Investment Bank Research dalam satu nota.

Firma penyelidikan itu berkata, TNB tidak akan menerima apa-apa jaminan ke atas 1MDB tetapi akan hanya bertanggungjawab untuk pembiayaan ekuiti JEP, liabiliti projek sedia ada JEP dan pembiayaan hutang akan datang.

“Kami positif ke atas maklumat diberi, berikutan kedudukan TNB dalam mendukung kepentingan pemegang saham manakala memastikan kemampanan jangka panjang bekalan tenaga kepada negara,” katanya.

Hong Leong Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas pembekal tenaga berkenaan dengan harga sasaran RM17.00.

Sementara itu, satu lagi firma penyelidikan, Kenanga Research, berkata penggearan bersih TNB boleh meningkat kepada 0.66 kali daripada 0.46 kali berdasarkan keputusan suku kedua 2015.

“Keseluruhannya kami positif ke atas pengambilalihan itu berikutan kos pembelian yang munasabah.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan pendapat kami selagi jualan baki asset loji tenaga brownfield 1MDB (di bawah Edra Global) tidak diselesaikan, harga saham TNB akan terus menerima tekanan berikutan kebimbangan terlebih bayar dalam mengambil alih aset terbabit,” katanya dengan menambah ia mengekalkan harga sasaran RM12.78 untuk TNB.

ARTIKEL YANG SAMA