Saham Tokyo, Asia merosot

Saham Tokyo, Asia merosot

TOKYO, 23 Mac (AFP) – Saham Tokyo merosot hari ini seiring dengan rakan di Asia, ekoran pendahuluan lemah daripada Wall Street dan pengeboman di Brussels.

Pasaran ekuiti AS berakhir lebih rendah semalam tatkala saham syarikat penerbangan dan syarikat pelancongan terjejas ekoran keadaan huru-hara di Belgium.

Letupan di kereta api bawah tanah Brussels dan lapangan terbang Zaventem di luar ibu negara Belgium, didakwa dilakukan oleh Islamic State, meninggalkan kira-kira 35 orang terbunuh dan lebih 200 cedera.

“Disebabkan kami mempunyai serangan keganasan agak kerap, pasaran telah menjadi lebih kukuh berbanding peristiwa mengejutkan ini,” beritahu Masahiro Ichikawa, ahli strategi senior di Sumitomo Mitsui Asset Management, kepada Bloomberg News.

Indeks Nikkei 225 di Tokyo merosot 0.28 peratus, atau 47.57 mata, untuk ditutup pada 17,000.98.

Para pedagang bekerja di meja mereka di hadapan indeks harga saham Jerman, papan DAX, di bursa saham Frankfurt, Jerman. Saham Tokyo merosot hari ini seiring dengan rakan di Asia, ekoran pendahuluan lemah daripada Wall Street dan pengeboman di Brussels. – Reuters
Para pedagang bekerja di meja mereka di hadapan indeks harga saham Jerman, papan DAX, di bursa saham Frankfurt, Jerman. Saham Tokyo merosot hari ini seiring dengan rakan di Asia, ekoran pendahuluan lemah daripada Wall Street dan pengeboman di Brussels. – Reuters

Indeks Topix kesemua saham bahagian pertama kerugian 0.42 peratus, atau 5.73 mata, untuk berakhir pada 1,364.20.

Di antara saham yang berkaitan perjalanan, All Nippon Airways kerugian 0.52 peratus kepada 325.5 yen selepas kerosakan sistem komputer semalam yang memaksanya membatalkan lebih daripada 100 penerbangan domestik, sekali gus menjejas kira-kira 16,000 penumpang.

Syarikat itu membatalkan satu perjalanan di antara Tokyo dan Brussels hari ini ekoran pengeboman, beritahu jurucakap kepada AFP.

Bagaimanapun, Japan Airlines memperoleh 0.72 peratus kepada 4,174 yen. Syarikat penerbangan itu tidak mengendali mana-mana penerbangan langsung di antara Tokyo dan Brussels, kata jurucakap syarikat. Di tempat lain di Asia, saham Shanghai merosot sedikit ketika rehat.

“Pasaran Asia tidak akan melihat kesan berlarutan serangan pengganas di Belgium,” beritahu Chihiro Ohta, pengurus besar maklumat pelaburan di SMBC Nikko Securities kepada Bloomberg News. “Namun pasaran tidak mungkin menjadi terlalu berisiko.”