Sahut cabaran Sukan SEA

Sahut cabaran Sukan SEA

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bersabda untuk sekian kalinya negara diberi peluang menyertai Sukan SEA anjuran Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) bagi edisi ke-28 yang akan diadakan di Singapura dari 5 hingga 16 Jun ini.

Negara menghantar kontinjen seramai 73 atlet yang bertanding dalam 13 acara sukan iaitu wushu, pencak silat, taekwando, sepak takraw, olahraga, petanque, lawan pedang, billiard & snuker, equestrian, layar, golf, bola jaring dan bola sepak.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara dibacakan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah selaku wakil peribadi Duli Yang Teramat Mulia pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-28 Singapura di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

Dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia berharap dengan persiapan rapi dan bimbingan jurulatih profesional, latihan dalam negeri, kejohanan dan latihan ujicuba di luar negara serta bantuan dari Pusat Perubatan Sukan dan Sains Sukan termasuk latihan kondisi dan kekuatan badan, penjagaan makanan dan persediaan psikologi dapat membantu atlet.

“Ini dapat menyumbang dan memantapkan keyakinan diri bukan saja sekadar untuk bertanding tetapi semangat waja yang jitu untuk negara,” sabdanya.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyerahkan bendera kepada Chef De Missin Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA di Singapura.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyerahkan bendera kepada Chef De Missin Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA di Singapura.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair hadir selaku tetamu kehormat.

Duli Yang Teramat Mulia juga melahirkan perasaan yakin, penyertaan atlet negara kali ini, insya Allah akan membawa kejayaan yang lebih cemerlang dari sebelumnya.

Atlet juga diingatkan akan tanggungjawab sebagai atlet negara yang bukan saja mesti dipikul semasa berada dalam gelanggang tetapi juga di luar gelanggang.

“Tindak-tanduk dan tingkah laku serta kesungguhan dan kejujuran yang akan menentukan kejayaan sebenar Kontinjen Negara,” sabdanya.

Dalam sabdanya juga berharap, atlet perlu sentiasa berwaspada dengan apa yang dimakan dan diminum termasuk makanan tambahan dan ubat-ubatan yang diperlukan dan peka dengan bahan terlarang yang dipercayai boleh meningkatkan prestasi semasa pertandingan.

Bahan-bahan ini dilarang kerana bahaya atau risiko kepada kesihatan tubuh badan seseorang selain atlet, pegawai, jurulatih, fisioterapi dan pegawai perubatan supaya berhati-hati dengan makanan tambahan dan ubatan yang diberikan kepada atlet masing-masing.

Untuk lebih selamat, ada baiknya dimaklumkan kepada pihak penganjur mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum pertandingan untuk mengelakkan perkara yang tidak dingini berlaku.

Tetamu kehormat berbual dengan peserta Kontinjen Negara.
Tetamu kehormat berbual dengan peserta Kontinjen Negara.
Tetamu kehormat berjabat tangan dengan Yang Amat Mulia Faiq Jefri Bolkiah.
Tetamu kehormat berjabat tangan dengan Yang Amat Mulia Faiq Jefri Bolkiah.
Kontinjen Negara bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Kontinjen Negara bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

“Selain itu, semua atlet juga haru peka mengenai hukuman keras yang dikenakan ke atas atlet yang didapati positif doping iaitu pengantungan penyertaan yang dikuatkuasakan oleh badan sukan antarabangsa masing-masing,” tegasnya.

Jika ini terjadi, tegasnya sudah tentu usaha gigih bertahun-tahun akan menjadi sia-sia.

Sehubungan itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara bersabda untuk sentiasa mengekalkan integriti bersih dalam jiwa masing-masing dan ‘Say No To Doping’ untuk maruah diri, keluarga dan negara.

Sabdanya lagi, kegagalan setelah bertanding bersungguh-sungguh, jujur dan hormat kepada pihak lawan adalah lebih baik dari kemenangan yang diperolehi dengan cara penipuan.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara seterusnya menyeru kepada semua atlet untuk berjuang dan membuktikan bakat dan kebolehan masing-masing dengan menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperolehi dari kerja keras dan usaha serta semangat dan keyakinan diri.

ARTIKEL YANG SAMA