Sahut seruan pertingkat ekonomi negara

Sahut seruan pertingkat ekonomi negara

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Jan – Selaku rakyat dan penduduk di negara ini, kita perlu mengambil perhatian penuh terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Tahun Baru Masihi 2016.

Ini kerana ekonomi negara bukan sahaja tertumpu kepada sumber minyak dan gas bahkan ekonomi negara dapat diusahakan dalam berbagai-bagai bentuk seperti sektor perikanan yang mana para nelayan dapat mengusahakan ekonomi mereka sendiri melalui sumber pendapatan penangkapan ikan dan hasil jualan mereka.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai mengulas titah Baginda Sultan semasa ditemui Media Permata pada Majlis Doa Kesyukuran dan Doa Tolak Bala Badan Nelayan Kampung Danau, di Masjid Kampung Danau, hari ini.

Menurut beliau lagi, dengan adanya badan-badan kecil seperti Badan Nelayan Kampung Danau, Yang Berhormat melahirkan harapan agar nelayan-nelayan tidak terabai dan menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam sama-sama meningkatkan dan memajukan ekonomi negara, mukim dan kampung-kampung itu tersendiri.

Yang Berhormat Haji Ramli semasa majlis kesyukuran di Masjid Kampung Danau.
Yang Berhormat Haji Ramli semasa majlis kesyukuran di Masjid Kampung Danau.

“Sebagaimana yang kita lihat, dengan adanya badan dan semangat para nelayan ini sendiri berkumpul dan bersatu padu, mereka juga membangunkan sebuah pondok di hujung Kampung Danau bagi menjual ikan-ikan segar hasil dari tangkapan nelayan setiap hari dan ia disambut baik oleh orang ramai,” jelas Yang Berhormat lagi.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan harapan agar apa yang diusahakan oleh para nelayan di Mukim Telisai ini seperti membina pondok dan seumpamanya dapat dimajukan lagi oleh pihak-pihak tertentu bagi membantu lagi para nelayan di Kampung Danau dapat berjual sumber penangkapan ikan mereka kepada masyarakat di negara ini.

Dengan adanya usaha tersebut, ia dapat meningkatkan ekonomi para peniaga khususnya nelayan-nelayan dan sekali gus dapat menggandakan usaha untuk meningkatkan keluaran dalam negara, tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA