SAI muncul dengan muzik video ‘Esok Hari Ku’

SAI muncul dengan muzik video ‘Esok Hari Ku’

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT – Penyanyi tempatan, SAI akan muncul dengan muzik video terbaru berjudul Esok Hari Ku yang bakal menjadi single kedua beliau setelah mengeluarkan lagu pertama berjudul IG yang cukup mendapat sambutan sebelum ini.

Justeru itu, dalam usaha bagi mempromosikan lagu terbaru itu, SAI akan muncul dalam muzik video arahan Khai Tanda dari WRMproject dengan kerjasama dari jenama baju tempatan sendiri LokalGround yang menaja pakaian SAI dalam muzik video tersebut.

LokalGround adalah nama bagi sebuah kedai yang bertempat di Airport Mall yang menawarkan jenama pakaian tempatan seperti Villiebeast, TheApparealCorner.Bn, RoasrNRoll, FWDs84, Bruland, RuleClothingCo, Benua.Bwn dan Khalifahood.

Dalam temuramah bersama wartawan Media Permata, Haji Asrif Saifullah yang dikenali ramai sebagai SAI menyatakan bahawa single Esok Hari Ku adalah sebuah lagu berirama ‘Pop Jazz’ dan merupakan lagu yang senang untuk didengari oleh orang ramai.

Beliau menceritakan lagi bahawa lagu-lagu ini mengisahkan mengenai tekanan yang pernah dialami dalam melalui liku kehidupan yang merangkumi peribadi, pekerjaan dan cinta.

Salah satu aksi dalam muzik video Esok Hari Ku yang memperlihatkan aksi SAI sedang memegang gitar.
Salah satu aksi dalam muzik video Esok Hari Ku yang memperlihatkan aksi SAI sedang memegang gitar.

Menurut Pengarah muzik video, Khai Tanda kos penggambaran muzik video ini amat rendah dan menggunakan kreativiti krew prenggambaran sendiri.

Di samping itu, penghargaan juga harus diberikan kepada LokalGround atas kesudian untuk menjadikan kedai mereka sebagai salah satu lokasi penggambaran muzik video itu.

“Penggambaran ini juga adalah hasil kerjasama di antara beberapa ‘Youtubers’ tempatan yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan projek bagi muzik video SAI yang baru” tambahnya lagi.

Manakala pemilik Khalifahood iaitu Awang Najib Azhar berpendapat peranan mereka dalam menaja pakaian untuk penyanyi SAI dalam musik video tersebut bakal membawa keuntungan kepada kedua-dua belah pihak dalam menyokong artis tempatan dan juga untuk mendedahkan hasil pakaian jenama tempatan ke platform media sosial seperti Youtube yang mana musik video itu akan ditayangkan dalam masa terdekat ini nanti.

Lagu Esok Hari Ku sudah mula diperdengarkan melalui Musik Track Brunei dan Carta Hits Brunei di rangkaian Pelangi FM.