Saifol pandu pulang Evoque

Saifol pandu pulang Evoque

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Awang Saifol Baktiar bin Tengah, kelmarin, memandu pulang sebuah kereta Range Rover Evoque apabila terpilih sebagai pemenang utama kempen Ganjaran iCARe21 Insurans Islam TAIB, yang diadakan sempena ulang tahunnya yang ke-21.

Di majlis cabutan utama dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Airport Mall, Berakas, sembilan pemenang bertuah lain turut membawa pulang pelbagai hadiah menarik, yang mana Dayangku Hajah Asiah binti Pengiran Haji Damit memenangi iPad Mini dengan Retina Display, dan Yap Ah Kui menerima Samsung Galaxy S5.

Dua lagi pemenang, Lee Leh Na dan Haji Mohd Sapie bin Mohamed Zainal masing-masing memenangi wang tunai $600 dan $300, manakala itu, empat orang selebihnya menerima baucar membeli-belah bernilai $100.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Sdn Bhd, Haji Osman bin Haji Mohd Jair, dengan hadiah utama sumbangan Indera Motors Sdn Bhd disampaikan bersama oleh Pengarah Pemasaran Indera Motors, Awangku Mohd Yusra bin Pengiran Haji Abdullah.

Sebilangan para pemenang bertuah kempen Ganjaran iCAR21 bergambar ramai di majlis cabutan utama di Airport Mall, Berakas.
Sebilangan para pemenang bertuah kempen Ganjaran iCAR21 bergambar ramai di majlis cabutan utama di Airport Mall, Berakas.
Range Rover Evoque menjadi milik Awang Saifol Baktiar.
Range Rover Evoque menjadi milik Awang Saifol Baktiar.

Menurut kenyataan Insurans Islam TAIB, kempen ganjaran ini berjalan selama setahun, dari 16 Mei 2014 hingga 15 Mei 2015, dan terbuka kepada semua pemegang dasar iCARe menerusi Program Takaful Permotoran Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd.

Di samping cabutan utama, sepanjang kempen ini, turut diadakan empat cabutan bertuah suku tahunan.

Kenyataan turut menjelaskan, iCARe (Insurans IslamTAIB Car Assist & Response) adalah program bantuan tepi jalan yang menawarkan pelbagai faedah dan perkhidmatan bagi pemegang dasarnya. Sementara itu, Program Takaful Permotoran (Motor Takaful Programme) pula direka untuk menyediakan perlindungan bagi kenderaan dan pemilik kenderaan.

ARTIKEL YANG SAMA