Saiful Azmi selamatkan MS ABDB

Saiful Azmi selamatkan MS ABDB

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Sepakan voli Mohd Saiful Azmi pada minit ke-33 memberikan kemenangan 4-3 MS ABDB ke atas Rizfiz FT sekaligus terus menghidupkan peluang MS ABDB untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaiannya musim lalu di tempat ketiga.

Perlawanan ketiga daripada lima aksi Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016, Ahad lalu, di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menyaksikan Rizfiz FT memberikan saingan hebat sehinggakan terlebih dulu menjaringkan gol.

Jaringan itu hadir pada minit keempat menerusi percubaan Awangku Mohd Wafri. Namun pendahuluan 1-0 Rizfiz FT itu sekadar bertahan lima minit apabila Arima menyamakan kedudukan buat MS ABDB.

Separuh masa kedua bersambung pada kedudukan terikat 1-1 namun MS ABDB pantas membuka jarak dengan ledakan dua gol pada minit ke-24 dan ke-27 masing-masing dijaringkan oleh Mohd Amir Ajmal dan Zairul Hazmin.

Pendahuluan 3-1 MS ABDB itu ternyata tidak kekal lama apabila akibat kecuaian pemainnya membolehkan Rizfiz FT menjadikan kedudukan 3-2 hasil jaringan Mohd Khairul Anwar pada minit ke-28.

Antara aksi menarik perlawanan MS ABDB (hitam) dengan Rizfiz FT.
Antara aksi menarik perlawanan MS ABDB (hitam) dengan Rizfiz FT.

Lima minit kemudian kedudukan terikat 3-3 apabila Rizfiz FT sekali lagi menghukum kecuaian pemain MS ABDB, yang kali ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mohd Fadhilah. Namun hanya beberapa saat selepas sepak mula, Mohd Saiful Azmi melakukan sepakan voli dari hantaran di sayap kiri rakannya untuk gol kemenangan MS ABDB.

Perlawanan lain kelmarin menyaksikan First Five FT menang 4-2 ke atas BIO FT, PBDB FT memberikan kekalahan pertama kepada penyandang naib juara, Shah United FC dengan jaringan 6-5, juara bertahan, Kota Junior menang 5-2 ke atas NFT dan Arbisyam FC menang 5-3 ke atas Street United FT.

Dengan kesemua empat pasukan teratas menang pada Ahada lalu kecuali Shah United FC, kedudukan kekal tidak berubah dengan Kota Junior terus mencengkam puncak liga dengan 24 mata dari lapan permainan, sementara Shah United FC di tempat kedua ketinggalan enam mata di belakang akibat kekalahan itu ketika baru bermain tujuh kali.

Arbisyam FC pula menyamakan jumlah matanya dengan Shah United FC iaitu 18 mata dari lapan perlawanan di tempat ketiga kerana Shah United FC memiliki 37 jaringan berbanding 35 gol buat Arbisyam FC, manakala MS ABDB di tempat keempat dengan 15 mata, juga dari lapan perlawanan.