Saingan kumpulan EURO 2016 Perancis ditetapkan

Saingan kumpulan EURO 2016 Perancis ditetapkan

PARIS, 13 Dis (Agensi) – Juara bertahan, Sepanyol memulakan misi memburu gelaran ketiga berturut-turut dalam saingan Kejohanan Eropah dengan bertemu Republik Czech, tatkala tuan rumah Perancis berjaya mengelak kumpulan maut apabila diundi bersama pasukan bukan pilihan.

Sepanyol dan Czech berada dalam Kumpulan D yang turut disertai Turki dan Croatia manakala pasukan Perancis dikendali Didier Deschamps berdepan pasukan baharu Albania dan Switzerland dalam Kumpulan A.

Biarpun Sepanyol muncul sebagai satu-satunya pasukan yang merekodkan kejuaraan berturut-turut dan meraih sembilan kemenangan daripada 10 perlawanan pada pusingan kelayakan, jurulatihnya Vicente del Bosque tetap kekal berwaspada.

“Ia akan menjadi sesuatu yang sukar buat kami,” katanya. “Kami akan menyertai kejohanan untuk mencabar kemenangan ketiga berturut-turut di sana.

“Ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa kerana tidak ada yang melakukan pencapaian seperti itu sebelum ini. Kami akan cuba tetapi kami tahu terdapat banyak pasukan yang hebat di sana.”

Keputusan undian kumpulan kejohanan bola sepak EURO 2016. – Reuters
Keputusan undian kumpulan kejohanan bola sepak EURO 2016. – Reuters

Sementara itu, Perancis tampil yakin mampu memenangi peringkat kumpulan, tatkala rekod sebelum ini pernah menyaksikan mereka menewaskan Switzerland 5-2 di peringkat kumpulan Piala Dunia di Brazil, tahun lalu.

Ketika itu, Karim Benzema menjadi tonggak perlawanan namun kemungkinan terlepas aksi tahun depan selepas digantung daripada pasukan kebangsaan.

Dia didakwa atas tuduhan bersubahat memeras ugut dalam kes membabitkan rakan sepasukannya Mathieu Valbuena – yang turut meledak jaringan ketika menentang Switzerland – dan akibat daripada itu, Benzema digantung sementara menunggu keputusan kes dihadapinya.

“Banyak perkara yang berlaku akhir-akhir ini,” kata Deschamps. “Buat masa sekarang, dia tidak boleh menyertai pemilihan, tetapi saya tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam tempoh enam bulan akan datang.”

ARTIKEL YANG SAMA