Saingan Liga Perdana pelik – Ranieri

Saingan Liga Perdana pelik – Ranieri

LONDON, 31 Dis (Reuters) – Pengurus Leicester City Claudio Ranieri menganggap saingan Liga Perdana musim ini agak pelik dengan berkata apa yang berlaku ketika ini menunjukkan seolah-olah tidak ada pasukan benar-benar mahu memenangi kejuaraan.

Skuad Ranieri gagal merampas kedudukan selaku pendahulu selepas hanya sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Manchester City di tempat sendiri semalam dan Leicester berada di belakang Arsenal menerusi perbezaan jaringan.

Kebangkitan pasukan kecil yang mengintai gelaran utama membuatkan saingan Liga Perdana ketika ini kelihatan terbuka.

Tottenham Hotspur yang turut berpeluang memenangi gelaran pertama, berada di tangga keempat. Crystal Palace yang menduduki tangga ke-10 musim lalu pula menduduki tangga kelima.

Watford yang baru dinaikkan ke Liga Perdana, turut berada pada pertengahan liga, di tempat kelapan selepas menang empat perlawanan berturut-turut.

Claudio Ranieri ketika mengurus pasukannya dalam perlawanan menentang Manchester City baru-baru ini. – Reuters
Claudio Ranieri ketika mengurus pasukannya dalam perlawanan menentang Manchester City baru-baru ini. – Reuters

“Liga ini boleh dianggap gila. Saya rasa, pasukan besar sepatutnya sentiasa berada di kedudukan atas tapi ada kalanya, kelihatan seperti tidak ada pasukan yang benar-benar mahu muncul juara – itu yang membuatkan saingan musim ini kelihatan pelik,” kata Ranieri selepas perlawanan menentang City.

“Bukan mudah tapi kami sanggup menentang sesiapa saja. Setakat ini, apa yang kami lakukan memang luar biasa.”

Walaupun tercicir mata di tempat sendiri, pengendali berasal dari Itali itu tetap gembira dengan persembahan pasukannya ketika menentang City terutama selepas tewas di tangan Liverpool, Sabtu lalu.

“Saya gembira dan berpuas hati apabila kami dapat melakar rekod bersih ketika menentang pasukan seperti City. Saya yakin kami sudah mempamer aksi meyakinkan. Malah, selepas tewas kepada Liverpool, kami tetap mampu bermain baik,” kata Ranieri.

ARTIKEL YANG SAMA