Saingan Piala FA dan Liga Perdana tidak sama

Saingan Piala FA dan Liga Perdana tidak sama

LONDON, 13 Jan (AFP) – Harry Kane percaya pertemuan Piala FA antara Tottenham dengan Leicester tidak boleh dijadikan ukuran sebenar apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi pada aksi Liga Perdana, esok.

Leicester yang dibimbing Claudio Ranieri akan kembali ke White Hart Lane, empat hari selepas penalti disempurnakan Kane pada masa kecederaan menyelamatkan Tottenham daripada tersingkir sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan mengharungi perlawanan ulangan di Stadium King Power, minggu depan.

Kedua-dua pasukan membuat beberapa perubahan ketika Piala FA dengan Kane menyumbang jaringan buat pasukan selepas dimasukkan pada babak kedua.

Bercakap selepas perlawanan berkenaan, Kane berkata: “Saya rasa kedua-dua perlawanan itu tidak boleh dianggap sama. Kami masing-masing menghampiri tangga teratas dan mahu mengatasi satu sama lain.

“Ia tidak boleh disamakan dan kami akan menentang mereka esok dan juga seminggu selepas itu. Menjelang aksi timbal balik nanti, sudah tentu kami dapat memahami mereka. Saya harap kami sudah banyak belajar.”

Penalti disempurnakan Kane itu adalah jaringan ke-50 buatnya bersama kelab dan aksi menarik dipersembahkan sejak disenaraikan sebagai pemain utama Spurs musim lalu semakin mendapat perhatian kelab Eropah termasuk Real Madrid.