Saingan, sikap pengguna jejas untung pracukai Digi

Saingan, sikap pengguna jejas untung pracukai Digi

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Faktor persaingan sengit dan sikap pengguna yang kurang berbelanja menyebabkan Digi.Com Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah sebanyak RM575.64 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2016 berbanding RM626.35 juta yang dicatatkan setahun lepas.

Penyusutan harga yang ketara turut menyaksikan perolehannya berkurangan kepada RM1.66 bilion berbanding RM1.72 bilion sebelum ini, kata penyedia perkhidmatan telekomunikasi ketiga terbesar negara dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Sejajar persekitaran pasaran yang dijangka terus mencabar pada suku kedua, Digi menyifatkan rangkaiannya yang berdaya saing, keupayaan pertumbuhan digital dan usaha berterusan akan kekal sebagai rakan pilihan pengguna dalam kehidupan digital.

Ini sekali gus akan memberi Digi daya tahan lebih kukuh untuk berdepan sebarang persaingan.

“Tumpuan kami bagi enam bulan berikutnya adalah untuk memacu prestasi yang mantap, mengukuhkan kecemerlangan operasi dan pelaksanaan nilai kepada para pelanggan dan pemegang saham,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA