Saint bangkit tewaskan Liverpool

Saint bangkit tewaskan Liverpool

SOUTHAMPTON, 21 Mac (Reuters) – Southampton mempamerkan kebangkitan menakjubkan ketika menewaskan Liverpool 3-2 selepas ketinggalan 2-0, sebentar tadi.

Sadio Mane meledak dua kali untuk membantutkan harapan Liverpool untuk menghampiri kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris walaupun mendahului babak pertama dengan dua gol.

Jaringan melencong Philippe Coutinho pada minit ke-17 berjaya menewaskan Fraser Forster untuk Liverpool mendahului permainan, dan Daniel Sturridge melebarkan kedudukan selepas serangan balas pantas empat minit kemudian.

Namun selepas rehat Southampton mengubah rentak permainan dengan peluang merapatkan jurang muncul pada minit ke-49 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti, namun percubaan Mane diselamatkan Simon Mignolet.

Mane bagaimanapun menebus kekecewaannya empat minit kemudian dengan jaringan pada minit ke-63 sebelum Graziano Pelle menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum tamat permainan.

Aksi Mane (kanan) ketika menjaringkan gol ketiga buat Southampton, sekali gus membantutkan harapan Liverpool untuk menghampiri kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris. – Reuters
Aksi Mane (kanan) ketika menjaringkan gol ketiga buat Southampton, sekali gus membantutkan harapan Liverpool untuk menghampiri kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris. – Reuters

Derita Liverpool tidak berhenti setakat itu apabila Mane meledak gol kemenangan tiga minit sebelum tamat dan memberikan tiga mata berharga untuk meletakkan Southampton di tangga ketujuh dengan 47 mata.

Sementara itu, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meredakan kemarahan terhadap Christian Benteke selepas skuad kendaliannya itu mensia-siakan peluang untuk mencipta kemenangan biarpun dua kali mendahului apabila tewas 2-3 kepada Southampton.

Pengendali dari Jerman itu menawarkan nasihat ikhlasnya kepada penyerang Belgium berkenaan terlepas peluang terbaik bagi meletakkan Liverpool di depan 3-1 selepas dimasukkan sebagai pemain gantian bagi menggantikan, Daniel Sturridge yang turut meledak satu gol.