Saintis mahu hidupkan semula singa purba

Saintis mahu hidupkan semula singa purba

SAKHA, Rusia, 6 Mac (Agensi) – Sepasukan saintis di sini membuat percubaan untuk menghasilkan klon seekor anak singa purba yang hidup pada Zaman Ais sekitar 12,000 tahun lalu susulan penemuan dua bangkai haiwan itu dalam keadaan hampir sempurna pada Ogos tahun lalu.

Dua bangkai anak singa itu dijumpai beku di dalam ais di Siberia. Spesies singa purba itu diketahui sudah lama pupus.

Bagaimanapun, saintis-saintis berharap mereka dapat menggunakan tisu hidup yang menyimpan asid deoksiribonukleik (DNA) dalam bangkai tersebut untuk menghidupkan semula spesies singa Zaman Ais tersebut.

Bagaimanapun, hanya satu bangkai anak singa itu digunakan bagi tujuan penyelidikan, manakala bangkai kedua akan disimpan di Muzium Mamot, Yakutsk, Rusia.

“Penemuan ini tanpa disangkal lagi adalah sesuatu yang amat menakjubkan,” kata Pensyarah Akademik Sains Yakutsk, Dr. Albert Protopopov.