Saiz bukan jadi penghalang – Musa

Saiz bukan jadi penghalang – Musa

pg21_160719_c

LONDON, 18 Julai – Pemain yang mencipta rekod di Leicester City, Ahmed Musa (gambar) mengakui keputusannya tidak menjadi penjaga gol sebaliknya sebagai penyerang yang digeruni adalah yang terbaik dalam usaha memberi impak kepada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain Nigeria berumur 23 tahun itu berpindah ke Stadium King Power dengan harga STG16.5 juta daripada CSKA Moscow pada awal bulan ini berkata, ketika di bangku sekolah dia tidak meneruskan impiannya menjadi penjaga gol disebabkan fizikalnya yang kecil.

Dia mengubah posisi ke bahagian serangan ketika masih di bangku sekolah dan dengan ketinggian 1.70 meter, Musa tidak bimbang dengan cabaran fizikal dalam liga tertinggi di England itu.

Malah dia percaya ia keputusan yang menaikkan kariernya, yang kini membawanya ke England dengan mempunyai potensi jangka masa panjang bagi menggantikan penyerang England, Jamie Vardy yang berusia enam tahun lebih tua daripadanya.

“Saya adalah seorang penjaga gol ketika berumur 10 dan 12 tahun. Tapi perubahan itu keputusan terbaik dalam hidup saya kerana saya tidak mungkin akan menjadi penjaga gol profesional yang bagus.

“Ia adalah sukar pada awalnya tapi kemudian saya membiasakan diri yang hakikatnya saya tidak terlalu besar. Ramai orang mengatakan kepada saya ‘Musa anda terlalu kecil untuk menjadi penyerang.

“Tapi saya berkata ia tidak penting apa saiz anda, apa yang penting adalah apa yang anda boleh lakukan. Saya rasa saya seperti Jamie Vardy. Saya mempunyai kepantasan, saya suka bekerja keras, kami ada banyak persamaan.

“Adakah saya lebih pantas? Saya tidak boleh katakan lagi, saya tidak pernah bermain dengannya. Tetapi saya tak sabar untuk mengetahuinya!

“Saya tak sabar bermain bersama Vardy. Saya sukakan gaya dia. Saya rasa kami sesuai bermain sama.

Saya rasa ia adalah masa yang tepat untuk saya menyertai Leicester. Musim lalu, mereka berjaya memburu gelaran.

“Kali ini kami akan bermula baru – ini adalah mengapa saya menyertai mereka pada musim ini.”

“Saya dari Nigeria dan semua pemain Nigeria mahu bermain dalam Liga Perdana Inggeris. Saya rasa ini akan menjadi liga yang baik untuk saya. “

Musa turut mengakui beliau terkejut dengan etika kerja Leicester dalam latihan pra-musim.

“Apabila saya memulakan sesi pertama saya, saya terkejut,” kata Musa.

“Oleh kerana saya tidak pernah melihat keadaan ini di Rusia – tetapi sekarang saya dapat merasai.

“Keamatan di sini agak berbeza dari Rusia. Di sini sedikit sukar, di Rusia mereka lebih santai.

“Saya berfikir bahawa itu adalah perkara yang paling sukar, tetapi saya berfikir bahawa itulah rahsia di sebalik kejayaan Leicester.

“Semua orang memberi tumpuan dan semua orang senang antara satu sama lain, itulah rahsia terbesar – jika anda semua gembira dengan satu sama lain, anda boleh mencapai lebih banyak kejayaan.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA