Sajian Brunei...

Sajian Brunei ditingkatkan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Feb – Makanan merupakan faktor yang juga berperanan menarik ramai pelancong, yang bukan sahaja mencari destinasi untuk dikunjungi, tetapi juga ingin merasa makanan tempatan, selain makanan kering yang boleh mereka bawa pulang ke negara masing-masing.

Oleh itu, Minggu Gastronomi diadakan untuk mengetengahkan penampilan makanan Brunei dengan lebih standard, lebih rapi, bergaya dan sesuai dijadikan menu sajian acara-acara VIP dan boleh ditawarkan sebagai menu sajian pada acara-acara tertentu seperti Sambutan Hari Kebangsaan di luar negara umpamanya di London dan di Singapura.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong semasa ditemui media pada Majlis Pelancaran Minggu Gastronomi Brunei di Daerah Belait yang diadakan di Hotel Keoja, di sini, hari ini.

Yang Berhormat Dato telah melahirkan rasa sangat berpuas hati dengan imaginatif serta kreativiti pihak hotel yang menyertai Minggu Gastronomi yang telah menampilkan hidangan makanan Brunei dengan cukup bergaya serta rasanya yang lebih sedap dan ia boleh dijadikan menu pasaran yang berdaya saing.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato telah menyempurnakan pelancaran Minggu Gastronomi Brunei bagi Daerah Belait yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP). Turut hadir di majlis itu ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap KSSUP, ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei, perwakilan restoran-restoran dan agensi penerbangan cawangan Kuala Belait dan Seria.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama wakil-wakil hotel dan restoran peserta Minggu Gastronomi Brunei di Daerah Belait.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama wakil-wakil hotel dan restoran peserta Minggu Gastronomi Brunei di Daerah Belait.
Yang Berhormat Dato ketika meletakkan buluh berisi daging ayam untuk dimasak di atas bara api yang mana hidangan itu dikenali sebagai Ayam Pansuh.
Yang Berhormat Dato ketika meletakkan buluh berisi daging ayam untuk dimasak di atas bara api yang mana hidangan itu dikenali sebagai Ayam Pansuh.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan minggu tersebut kepada dua wakil agensi perhotelan yang menyertai di Kuala Belait iaitu Hotel Keoja dan Hotel V-Plaza.

Majlis tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk membentuk kesedaran kepada masyarakat di sini tentang makanan Brunei selain untuk menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran menyediakan sajian makanan Brunei dengan cara yang lebih canggih, meningkatkan kesedapannya serta meningkatkan penampilan sajian makanan Brunei yang boleh diketengahkan pada acara-acara resepsi dalam dan luar negara di samping memberikan pengalaman gastronomi kepada pelancong dalam dan luar negara.

Di majlis itu, Media Permata berkesempatan menemu bual Ketua Cef Hotel V-Plaza, Awang Suhaimi bin Abdul Kadir yang menjelaskan menu yang diketengahkan termasuk Nasi Katok Barito, hidangan pencuci mulut Dayangku Si Manis dan minuman Asam Boy serta Otak-otak bungkus daun pandan, yang telah diubahsuai daripada cara kampung kepada yang lebih standard.

Awang Suhaimi yang berpengalaman selama lebih 20 tahun sebagai cef, turut menyatakan bahawa rekaan, kreativiti serta pengubahsuaian setiap sajian yang mereka tampilkan mahu mengajak orang berfikir ke hadapan dan ingin untuk merasakannya.

“Nasi Katok, daripada makanan yang terkenal dengan harga $1 dinaiktarafkan kepada penampilan hidangan yang standard, selain hidangan pencuci mulut yang biasanya dikenali sebagai Kuih Bom, diubah kepada penggunaan bahan ubi manis warna ungu, berintikan gula dan dinamakan kepada yang lebih lembut kerana penampilannya yang cantik, rasanya yang manis serta lembut.

“Begitu juga dengan minuman Asam Boy, ia merupakan campuran istimewa daripada limau kasturi dengan buah kedondong sesuai untuk diminum semasa sarapan pagi, makan tengah hari dan juga makan malam,” katanya.

Hotel V-Plaza menampilkan menu makanan Brunei seperti Nasi Katok Barito, Air Asam Boy, Kuih Dayangku Si Manis dan sebagainya, dalam penyertaan mereka pada Minggu Gastronomi Brunei bagi kawasan Daerah Belait.
Hotel V-Plaza menampilkan menu makanan Brunei seperti Nasi Katok Barito, Air Asam Boy, Kuih Dayangku Si Manis dan sebagainya, dalam penyertaan mereka pada Minggu Gastronomi Brunei bagi kawasan Daerah Belait.
Hotel Keoja, menampilkan menu Ayam Pansuh, dengan penampilannya yang lebih bergaya dan rasanya yang lebih sedap ditambahkan dengan beberapa ulam-ulam tempatan.
Hotel Keoja, menampilkan menu Ayam Pansuh, dengan penampilannya yang lebih bergaya dan rasanya yang lebih sedap ditambahkan dengan beberapa ulam-ulam tempatan.

Sementara itu, Cef Hotel Keoja, Ddenddy pula menjelaskan bahawa menu yang mereka sediakan iaitu ayam dalam buluh, yang lebih dikenali sebagai Pansuh, menjadi makanan kegemaran dalam kalangan penduduk luar bandar di negara ini.

Jelasnya, mereka telah mengubahsuai hidangan berkenaan dari segi penampilan, rasa dan penambahan sedikit bahannya untuk menyedapkan lagi rasanya termasuk menggabungkan dengan ulam tempatan seperti daun ubi kayu, bunga kantan, halia dan serai, sesuai untuk sajian makan tengah hari.

Sebanyak 15 buah hotel dan restoran di seluruh negara menyertai Minggu Gastronomi Brunei termasuk Royal Brunei Airlines (RB) yang akan menyajikan masakan Brunei semasa Hari Kebangsaan bagi penerbangan serantau.

Restoran-restoran pula akan menyediakan sajian terkenal masing-masing di mana makanan Brunei disajikan sebagai menu utama bufet atau ala carte.

Makanan yang disajikan sepanjang Minggu Gastronomi Brunei juga akan dinilai dalam program penilaian yang akan dihakimi melalui beberapa kriteria oleh hakim-hakim yang dilantik dan pemenangnya akan diumumkan pada Majlis Penganugerahan Industri Pelancongan yang dijangka akan diadakan pada April nanti.

Acara tersebut telah disokong oleh Persatuan Hotel-Hotel Brunei, CHMP Media, Borneo Bulletin, Media Permata, Persatuan Ejen Pelancongan dan RB.