Saksi beruang madu melalui laluan 100 meter

Saksi beruang madu melalui laluan 100 meter

SANDAKAN, 20 Mei (Bernama) – Laluan sepanjang 100 meter dilengkapi platform memerhati menjadi kemudahan terbaharu disediakan di Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sepilok dekat sini.

Kemudahan itu membolehkan pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat lagi aktiviti beruang madu yang dipulihara di pusat itu yang terletak di kawasan Hutan Simpan Sepilok, di sini.

Pembinaan laluan dan platform memerhati itu dibuat menerusi sumbangan Yayasan Sime Darby berjumlah RM1.4 juta.

Ia siap dibina pada Mac lepas dan majlis pelancaran kemudahan itu disempurnakan hari ini oleh Ahli Majlis Pengelola Yayasan Sime Darby Caroline Christine Russell.

Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC Wong Siew Te berkata ia merupakan laluan dan platform memerhati kedua disediakan di pusat itu sejak dibuka kepada orang ramai pada Januari 2014.

Laluan dan platform baharu sepanjang 100 meter merupakan kemudahan terbaharu yang disediakan di Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo di Sepilok. – Bernama
Laluan dan platform baharu sepanjang 100 meter merupakan kemudahan terbaharu yang disediakan di Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo di Sepilok. – Bernama

Katanya Yayasan Sime Darby sebelum ini pada 2012 telah menyumbang RM2.1 juta untuk meningkatkan kemudahan di pusat itu dan membiayai kos operasi.

Beliau berkata sejak dibuka kepada orang ramai, pusat itu dikunjungi 50,500 pelawat pada 2014 dan 53,500 pada tahun berikutnya.

“Disebabkah jumlah peningkatan kunjungan orang ramai ke BSBCC, memang terdapat keperluan penambahan laluan dan platform pemerhati kepada orang ramai untuk melihat aktiviti beruang madu,” katanya.

Menurutnya pada masa sekarang terdapat 40 beruang madu dipulihara di pusat itu yang diperoleh daripada pembelaan secara haram atau terperangkap di dalam hutan.