Saksikan teater muzikal pelajar JIS

Saksikan teater muzikal pelajar JIS

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Penggemar persembahan teater muzikal, akan berpeluang untuk menyaksikan pementasan muzikal istimewa, Les Miserables oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) selama tiga hari, dari 4 hingga 6 Disember nanti.

Persembahan muzikal yang diadaptasi daripada novel Les Miserables oleh penulis novel Perancis, Victor Hugo akan diadakan di Auditorium Utama, Pusat Kesenian JIS, Jerudong yang mana persembahan itu amat sesuai bagi penonton-penonton berusia lapan tahun ke atas.

Menurut pihak penganjur, muzikal itu akan dipersembahkan tiga kali iaitu pada 4 dan 5 Disember bermula pukul 7:45 malam dan persembahan terakhir pada 6 Disember bermula pukul 2 petang.

Sehubungan itu, pihak penganjur mengalu-alukan mereka yang berminat untuk sama-sama hadir bagi menyaksikan persembahan teater muzikal istimewa dan yang julung-julung kali diadakan oleh pelajar-pelajar yang berbakat dari JIS.

Tiket-tiket bagi persembahan itu berharga $20 dan maklumat untuk mendapatkannya boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang http://fly.jis.edu.bn/les-misrables/how-to-get-tickets.