Salah guna bekalan gas

Salah guna bekalan gas

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Ogos – Beberapa buah rumah dan premis di kawasan-kawasan yang menerima bekalan gas di sini, telah didapati menggunakan bekalan berkenaan untuk kegunaan lain selain memasak, memanaskan air untuk mandi dan sebagainya.

Dalam pemeriksaan bersama oleh Jabatan Kerja Raya cawangan Daerah Belait, bersama Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri awal tahun ini, rumah-rumah dan premis berkenaan didapati menggunakan bekalan gas tersebut untuk kegunaan seperti melakukan pembakaran terbuka, yang merupakan pembaziran dan boleh mendatangkan bahaya serta kerugian pihak kerajaan.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan perkara itu berterusan, wakil daripada jabatan-jabatan tersebut dengan bantuan agensi-agensi lain akan melaksanakan rondaan ke kawasan-kawasan berkenaan.

Dalam surat pemberitahuannya, Jabatan Kerja Raya menyatakan bahawa jika didapati mereka yang membuat aktiviti pembakaran terbuka dengan menggunakan bekalan gas tersebut, maka pihak yang mengadakan rondaan tersebut akan berjumpa terus dengan pelaku untuk menerangkan lebih lanjut mengenai tindakan seterusnya sekiranya ia masih berlanjutan.

Menurut jabatan itu juga, surat-surat pemberitahuan itu telah diselitkan bersama dengan bil-bil pembayaran air yang dihantar ke rumah-rumah pada bulan ini, untuk memastikan pembakaran secara terbuka menggunakan bekalan gas tidak dilakukan.

Pembakaran terbuka menggunakan bekalan gas dilarang kerana api daripada kawasan pembakaran terbuka boleh melarat ke kawasan hutan atau rumah berdekatan jika dibiarkan, dan kebakaran yang tidak terkawal boleh menyebabkan masalah kesihatan daripada asap, kecederaan atau kematian.

Selain itu, pembakaran terbuka juga akan menyebabkan pelepasan gas hijau yang telah dikenal pasti antara faktor yang menyebabkan perubahan iklim, dan kerugian di pihak kerajaan disebabkan oleh pembaziran hasil bumi yang tidak dapat diganti.

Gas merupakan bahan yang mudah terbakar, dalam keadaan tertentu, gabungan gas, oksigen dan sumber ‘ignition’ boleh menyebabkan kebakaran atau letupan.

ARTIKEL YANG SAMA