Salah guna jawatan pekerja

Salah guna jawatan pekerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, yang melibatkan empat orang pegawai penguat kuasa, kelmarin, telah menjalankan Operasi Gempur 2016 di sekitar Kampung Kiarong, di sini.

Menurut kenyataan di sini, operasi tersebut telah mendapati empat orang pekerja melakukan kesalahan jawatan dan penempatan yang tidak selaras dengan kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing di mana tiga orang pekerja berjawatan amah dan seorang berjawatan buruh melakukan pekerjaan sebagai pencuci kereta.

Bagi kesalahan berkenaan satu tindakan akan diambil kepada pihak majikan iaitu pembatalan atau pengurang kuota Jabatan Buruh ke atas kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing, manakala sokongan pas kerja pekerja berkenaan akan dibatalkan dan dipulangkan ke negara asal.

Salah seorang pekerja ketika disoal siasat oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Buruh.
Salah seorang pekerja ketika disoal siasat oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Buruh.

Sehubungan itu, Jabatan Buruh memberikan peringatan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan lesen yang diberikan yang mana kesalahan mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh, boleh diambil tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan, 2009 dan jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) Perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh di talian 2381848.

ARTIKEL YANG SAMA