Salah guna pas imigresen

Salah guna pas imigresen

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Seorang lelaki warga asing telah ditangkap semasa menjual telefon bimbit kepada seorang pembeli di kawasan bangunan kedai di Serusop, Berakas, kira-kira 3:02 petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, tangkapan dibuat selepas pemantauan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK hasil daripada maklumat orang ramai.

Penggeledahan ke atas lelaki berkenaan mendapati terdapat lima unit telefon bimbit berjenama dan aksesori telefon bimbit.

Bahagian Pencegahan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan AITI telah pun dihubungi bagi sama-sama menangani kes terbabit dan seterusnya mengambil alih kes berhubung dengan telefon bimbit.

Bagi pihak JIPK, lelaki warga asing terbabit jika sabit kesalahan akan dikenakan tindakan kompaun kerana dipercayai menyalahgunakan pas imigresen yang diberikan dan seterusnya dipulangkan ke negara asal dan ditegah untuk masuk semula ke negara ini.

Lelaki warga asing menawarkan telefon bimbit kepada orang awam yang lalu lalang di kaki lima kedai kawasan Bangunan Kedai Serusop.
Lelaki warga asing menawarkan telefon bimbit kepada orang awam yang lalu lalang di kaki lima kedai kawasan Bangunan Kedai Serusop.

JIPK dalam kenyataannya turut melaporkan bahawa tiga warga asing termasuk seorang perempuan juga telah ditahan kerana gagal menunjukkan pas Imigresen yang masih sah dalam Operasi KESAN JIPK 22/2016, tengah malam tadi.

Kesemua mereka telah dibawa dan ditahan sementara di Balai Polis Bandar Seri Begawan untuk siasatan lanjut.

Operasi ke atas tiga sasaran bilik sewa dan rumah sewa berasingan di Mukim Pengkalan Batu dan Kilanas itu dijalankan dari jam 10 malam hingga 2 pagi tadi.

Semasa serbuan ke atas salah sebuah bilik sewa di Mukim Pengkalan Batu, seorang perempuan warga asing cuba untuk melarikan diri dan bersembunyi di belakang rumah, bagaimanapun berjaya ditangkap semula.

Setelah tapisan lanjut dan penggeledahan di bilik tidurnya, pegawai penguat kuasa mendapati cop imigresen Brunei yang terdapat dalam pasport perempuan berkenaan telah pun mansuh selama 440 hari.

Jika sabit kesalahan, perempuan tersebut akan diambil tindakan undang-undang di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen Penggal 17 kerana tinggal di negara ini setelah pas imigresen mansuh.

Sehubungan itu, bagi menyokong usaha menguatkuasakan undang-undang, pihak jabatan mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA