Salah guna pas jaminan untuk kerja

Salah guna pas jaminan untuk kerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Tiga warga asing telah dikeluarkan pas khas untuk siasatan dan tindakan selanjutnya apabila didapati menyalahgunakan pas jaminan mereka dalam pemeriksaan ke atas kerja-kerja pemasangan gutter rumah di kawasan Jalan Tengah Kuala Belait awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), siasatan mendapati, seorang daripada warga asing terbabit merupakan orang yang bertanggungjawab mendapatkan projek/kerja pemasangan di rumah berkenaan dan telah menggaji dua orang warga asing lain untuk bekerja bersamanya.

Sementara itu, dua lagi warga asing berkenaan dipercayai bekerja secara bebas (freelance). Majikan kepada dua orang pekerja berkenaan juga telah dikeluarkan surat panggilan bagi sama-sama membantu siasatan.

Operasi pada jam 8:30 pagi yang dinamakan Ops KESAN JIPK 02/2016 itu melibatkan lima pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Kuala Belait dengan diketuai pemangku ketua pegawai imigresen dan dijalankan hasil intipan seawal jam 6 pagi.

Penguat kuasa sedang menjalankan pemeriksaan semasa operasi tersebut.
Penguat kuasa sedang menjalankan pemeriksaan semasa operasi tersebut.
Operasi yang dilakukan ketika para pekerja sedang melakukan kerja-kerja pemasangan gutter di kawasan perumahan.
Operasi yang dilakukan ketika para pekerja sedang melakukan kerja-kerja pemasangan gutter di kawasan perumahan.

Sehubungan dengan itu, para majikan dan mana-mana individu terutama sekali warga asing sekali lagi diingatkan agar sentiasa patuh dan tidak melanggar atau menyalahi sebarang akta dan peraturan imigresen.

Bahagian berkenaan akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan berterusan sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut, pihak jabatan mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8753888 / 8734888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA