Salah guna wang zakat fitrah

Salah guna wang zakat fitrah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160615_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Mahkamah Majistret, hari ini, membenarkan kes seorang pegawai yang mengaku bersalah menyalah guna wang zakat fitrah pada 2010 dipindahkan ke Mahkamah Perantaraan.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain membenarkan permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman memaklumkan mahkamah bahawa kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Perantaraan.

Junaidi bin Haji Duraman, 49, yang merupakan pegawai di Pejabat Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat Daerah Belait menghadapi pertuduhan menyeleweng wang zakat fitrah berjumlah $11,707.40.

Pada 6 November 2010, seorang amil yang dilantik di Masjid Kampung Pandan telah menyerahkan senarai pembayaran zakat dan wang tersebut kepada tertuduh.

Siasatan mendapati tertuduh tidak pernah memasukkan wang zakat fitrah yang diterima daripada amil tersebut ke dalam akaun bank jabatan.

Tertuduh telah disoal siasat di mana dia hanya memberitahu wang itu telah dicuri daripada kenderaannya yang tidak berkunci ketika dia keluar ke kedai untuk menggunakan tandas, dan meminta diberi tempoh untuk mengembalikan wang itu.

Majistret Kanan turut menetapkan 22 Jun untuk sebutan kes.

ARTIKEL YANG SAMA