Salah guna zakat fitrah

Salah guna zakat fitrah

Oleh Rafidah Jumat

pg06_160609_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Seorang pegawai di Pejabat Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat Daerah Belait mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan salah guna wang zakat fitrah, pada 2010.

Junaidi bin Haji Duraman, 49, berdepan dakwaan menyeleweng wang zakat fitrah berjumlah $11,707.40.

Pada 6 November 2010, seorang amil yang dilantik di Masjid Kampung Pandan telah menyerahkan senarai pembayaran zakat dan wang tersebut kepada tertuduh.

Siasatan mendapati tertuduh tidak pernah memasukkan wang zakat fitrah yang diterima daripada amil tersebut ke dalam akaun bank jabatan.

Tertuduh telah disoal siasat di mana dia hanya memberitahu wang itu telah dicuri dari kenderaannya yang tidak berkunci ketika dia keluar ke kedai untuk menggunakan tandas, dan meminta diberi tempoh untuk mengembalikan wang itu.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menetapkan 15 Jun untuk sebutan hukuman tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA