Salah selamatkan Roma

Salah selamatkan Roma

MILAN, 12 April (AFP) – Jurulatih Roma Luciano Spalletti tetap berdegil mengenai isu Francesco Totti selepas kapten bukan pilihan itu berjaya memberikan umpanan musim ini untuk seri 1-1 dengan Bologna, semalam.

Masa depan Totti bersama kelab yang disertainya selama 23 musim menjadi topik hangat di Itali ketika kelab gergasi Serie A itu menawarkan perjanjian satu tahun tambahan kepada pemain berusia 39 tahun tersebut.

Totti membuat hanya beberapa penampilan musim ini, tetapi apabila ‘Il Re di Roma (Raja Rom) itu menggantikan Iago Falque pada babak kedua, dia hampir memberikan impak serta-merta.

Percubaan Mohamed Salah tiga kali terkena tiang sebelum berjaya menjaringkan gol untuk membantu pasukan tangga ketiga AS Roma terikat 1-1 di halaman sendiri dengan Bologna dalam kancah Serie A, semalam.

Tandukan awal pemain dari Mesir itu terkena tiang dan percubaan sama daripada Stephan El Shaarawy daripada lantunan bola itu dibatalkan pengadil kerana ofsaid sekali gus mengecewakan penyokong tuan rumah.

Salah (kiri) dan Totti meraikan jaringan semasa menentang Bologna di Rome dalam aksi Serie A kelmarin. – AFP
Salah (kiri) dan Totti meraikan jaringan semasa menentang Bologna di Rome dalam aksi Serie A kelmarin. – AFP

Salah sekali lagi kurang bernasib baik pada minit ke-23 apabila percubaannya dinafikan tiang sebelum dia cuba memanfaatkan lantunan bola berkenaan, namun ia berjaya diselamatkan penjaga gol Bologna, Antonio Mirante.

Kekecewaan tuan rumah ditambah Luca Rossettini apabila tandukannya berjaya menggegar gawang Roma yang dikawal Wojciech Szczesny untuk membolehkan Bologna mendahului 1-0.

Pada awal babak kedua, Salah sekali lagi berusaha namun percubaannya itu turut terkena tiang sebaik saja jurulatih Roma, Luciano Spalletti membawa masuk perancang veteran, Francesco Totti.

Kemasukan pemain berusia 39 tahun itu secara tidak langsung memberi sumber inspirasi buat Roma dan dia membantu melakukan hantaran cantik buat Salah untuk meledak jaringan melepasi Mirante selepas itu.

Penguasaan permainan selepas itu menjadi milik Roma namun mereka tidak mampu mencari gol kemenangan dan kini tercicir enam mata di belakang penghuni tangga kedua liga, Napoli.