Salak madu Tanjung Belit rebutan peminat di Utara

KULIM – Tertarik dengan kejayaan abang iparnya mengusahakan tanaman Salak Madu di Perak, pemandu lori, Zulkifli Che Rus, 46, turut cuba menanamnya sedangkan buah itu lazimnya tumbuh subur di bahagian pantai timur. Kini, Zulkifli adalah satu-satunya penanam buah salak di daerah Kulim dan buah salaknya menjadi rebutan peminat di utara Semenanjung.

Beliau menanam lebih 1,000 pokok salak madu (atau bahasa saintifiknya Salacas zalacca), yang benihnya dibawa dari kebun milik abang iparnya Abu Seman Md.Taha, di Kampung Titi Gantung, Bota kiri, Perak.

Zukifli yang lebih dikenali sebagai ‘Li Salak’ di kampungnya mengusahakan tanaman itu di kawasan tanah sehektar miliknya di Kampung Tanjung Belit, Mukim Sidam Kanan, di sini sejak 10 tahun lepas. Setiap kali berbuah, permintaan daripada peminat buah itu semakin meningkat. “Tak sempat nak dijual di pasar, mereka datang ke rumah untuk mendapatkannya,” tambah Zulkifli lagi.

Zulkifli menjual buah itu pada harga RM6 sekilogram walaupun ada peniaga di Pasar Rope Walk, Pulau Pinang, menjualnya pada harga RM10 sekilogram. Beliau mengekalkan harga itu sejak 2009 bagi pembeli yang datang mencari buah salaknya itu.

Mengenali pokok Salak

Buah salak lazimnya ditanam di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak dengan statistik Jabatan Pertanian menunjukkan 1,230 hektar ditanam dengan pokok itu sehingga 2012. Pokoknya mirip pokok kelapa sawit dengan pohonnya rendah. Ia berbuah dalam gugusan dengan kulit luarnya bersisik dan bewarna perang. Isinya berwarna putih manis dan kaya dengan nutrisi.

Buah salak lazimnya ditanam di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Buah salak lazimnya ditanam di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Pokoknya mirip pokok kelapa sawit dengan pohonnya rendah.
Pokoknya mirip pokok kelapa sawit dengan pohonnya rendah.

Pokok-pokok salak ini berbunga sepanjang tahun dan buahnya membesar dan matang empat bulan selepas melalui proses pendebungaan, jelas Zulkifli ketika ditemui di rumahnya.

Kawasan tanaman salak madunya itu adalah bersebelahan rumahnya. Beliau menggunakan baja organik yang dibelinya di pasaran dan mendapat bantuan Jabatan Pertanian.

Selain itu proses pendebungaan dilakukannya sendiri secara ‘manual’ dan tidak sepenuhnya mendapat bantuan serangga seperti kumbang dan lain-lain secara tabii. Ini dapat memastikan hasil yang tinggi.

Rezeki buah Salak

Zulkifli mula menanam 700 pokok salak madu pada 2007 dan pada 2009 ia mula menghasilkan buah yang bukan sahaja menjadi rebutan peminat salak madu tempatan malahan dari luar daerah.

“Mungkin kerana tak ramai orang yang menanamnya tapi ramai yang sukakan buahnya, rezeki saya bertambah walaupun belum sampai ke tahap mampu menunaikan ibadah umrah seperti abang ipar saya tu,” tambah Zulkifli pula. Selain Zulkifli di Kulim, cuma di daerah Yan sahaja terdapat beberapa penduduk di situ yang mengusahakan tanaman pokok salak itu pun secara kecil-kecilan.

Atas ketekunan Zulkifli dengan bantuan isterinya Chek Md.Taha, 46, pasangan yang pada mulanya tinggal di rumah di bawah skim Program Bantuan Rumah (PBR) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) sejak 2004 kini mampu membuat tambahan binaan rumah itu hasil jualan buah salak yang diusahakan mereka.

Pokok-pokok salak ini berbunga sepanjang tahun dan buahnya membesar dan matang empat bulan selepas melalui proses pendebungaan.
Pokok-pokok salak ini berbunga sepanjang tahun dan buahnya membesar dan matang empat bulan selepas melalui proses pendebungaan.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga mendapat pengiktirafan Sijil MyGAP dan My Organik daripada Kementerian Pertanian dan Asas Tani atas usahanya dalam bidang pertanian.

Anugerah Salak

Beliau menambahkata purata pendapatan tahunannya hasil jualan buah salak madu yang diusahakan dianggarkan RM4,500 dan RM5,000 untuk pengeluaran antara 750 kg hingga 900 kg buah setahun.

“Usaha ini boleh dijadikan sebagai kerja sambilan, lagi pun pokok salak madu tidak banyak musuh tanaman dan tidak sukar menjaganya,” kata Zulkifli yang juga pernah mendapat tempat kedua pada acara Pertandingan Buah-buahan Salak pada Ekspo MAHA 2012.

Atas usaha gigihnya beliau juga mendapat bantuan sebuah pam air berharga RM6,000 daripada Jabatan Pertanian Negeri Kedah pada Program Muafakat Jalinan Tani Wilayah Selatan di Kampung Relau, Bandar Baharu, baru-baru ini.

Beliau berharap lebih ramai lagi kalangan penduduk tempatan yang memiliki tanah yang tidak diusahakan akan mengambil inisiatif turut menanam salak madu.

“Kerana tanah gambut yang terbiar ditinggalkan dan tidak diusahakan amat sesuai untuk tanaman salak madu kerana jenis tanaman ini jika diusahakan dengan baik akan mampu bertahan dan berbuah sehingga 60 tahun,” ujar beliau. – Bernama