Salem kembali dengan musim baru

Salem kembali dengan musim baru

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

MERUPAKAN sebuah siri drama televisyen yang menampilkan elemen seram, supernatural dan thriller, Salem telah dihasilkan oleh Brannon Braga dan Adam Simon di mana ia diinspirasikan daripada kisah ahli sihir yang popular pada kurun ke-17.

Siri drama tersebut dibintangi oleh Janet Montgomery yang melakonkan watak Mary Sibley, seorang ahli sihir yang berupaya untuk mengawal penggunaan kuasa ahli sihir di Salem yang hanya menggunakan kuasa yang mereka miliki ke arah yang baik dan memastikan kuasa tersebut tidak diselewengkan. Bagaimanapun kekacauan mula berlaku apabila bekas kekasih lamanya, John Alden lakonan Shane West telah kembali ke Salem dan menghuru-harakan setiap rencana yang telah dirancang oleh Mary.

Justeru, kini siri yang turut menampilkan elemen romantik dan fantasi ini turut kembali dengan musim terbaru yang merupakan musim ketiga dalam siri tersebut. Musim terbaru siri ini meneruskan adegan yang dipertontonkan dalam siri terdahulu di mana sekumpulan ahli sihir terbaru berjaya melakasanakan usaha yang dikenali sebagai New World yang bertujuan untuk membangkitkan roh bagi membantu menguasai dunia dengan menjadikan Salem sebagai lokasi pusatnya.

Antara barisan pelakon yang membintangi siri drama Salem musim ketiga.
Antara barisan pelakon yang membintangi siri drama Salem musim ketiga.

Bagaimanapun apa yang direncanakan oleh sekumpulan ahli sihir itu nyata gagal apabila mereka tidak menyedari bahawa roh yang telah dibangkitkan dengan harapan dapat membantu mereka untuk menguasai dunia itu ternyata sangat berkuasa dan cukup tamak. Ternyata roh yang telah dibangkitkan oleh sekumpulan ahli sihir itu mempunyai niat buruk sendiri iaitu untuk menjadikan sekumpulan ahli sihir yang terpesong itu sebagai hambanya untuk membantunya bagi mencapai impiannya yang sangat keji itu. Lalu, kini hanya Mary Sibley yang merupakan ahli sihir yang sangat berkuasa dan sering menasihatkan ahli sihir lain untuk mengunakan kuasa istimewa yang mereka miliki itu ke jalan yang lebih baik bagi membantu permasalahan yang baru ditimbulkan ini.

Bagaimanapun sebagaimana yang telah diketahui di dalam musim terdahulu Mary Sibley secara tiba-tiba telah menghilang dari Salem dan setentunya itu menjadi satu cabaran bagi penduduk di daerah itu.

Maka untuk mengetahui kesudahan siri drama yang turut menjemput penyanyi rock popular Marilyn Manson sebagai pelakon undangannya ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Salem sehingga ke penghujungnya.