Saling bantu membantu

Saling bantu membantu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Bagi membantu meringankan beban orang-orang yang memerlukan di bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, seramai 120 orang daripada kalangan fakir miskin, anak-anak yatim dan ibu tunggal yang terdiri daripada penduduk Kampung Serusop dan persekitarannya telah menerima sumbangan derma berupa wang tunai dan cenderahati sumbangan daripada Awang Nazeer Ahmad Zakariah dan keluarga.

Majlis penyampaian sumbangan telah berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop baru-baru ini. Majlis tahunan tersebut diadakan hasil kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya menyampaikan sumbangan derma berkenaan ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dan turut menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Pengurus Syarikat Nazmi Textiles Mall, Awang Nazeer Ahmad Zakariah.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Masjid, Islam adalah agama yang mementingkan hubungan yang baik dalam kalangan umatnya sehingga dengannya dapat menjadikan umat Islam sebagai umat yang kuat dan bersatu padu.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pengurus Syarikat Nazmi Textile Mall menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pengurus Syarikat Nazmi Textile Mall menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Umat Islam juga diseru untuk hidup saling bantu membantu, menghormati dan sayang menyayangi tanpa mengira keluarga, kaum, kerabat, rakan, jiran mahupun orang yang tidak dikenali.

Salah satu cara untuk melaksanakan konsep tolong-menolong atau bantu-membantu ialah dengan amalan bersedekah.

Menurut Awang Nazeer Ahamad ketika ditemui media, sumbangan derma ini adalah merupakan sumbangan berterusan dalam membantu mereka yang memerlukan dan berharap sumbangan ini akan dapat meringankan beban mereka di bulan Ramadan dan pada Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba nanti.

ARTIKEL YANG SAMA