Salleh dilantik semula sebagai presiden kehormat PPNS

Salleh dilantik semula sebagai presiden kehormat PPNS

KOTA KINABALU, 23 Ogos – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilantik semula sebagai presiden kehormat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) bagi tempoh 2016-2019.

Pelantikan semula berkenaan diumumkan Pengerusi PPNS Datuk Mohd Nazri Abdullah bersempena mesyuarat agung tahunan kali ke-29 PPNS di sini hari ini.

Mohd Nazri dalam kenyataannya hari ini berkata pelantikan semula Salleh sebagai presiden kehormat itu dibuat selepas mengambil kira sumbangan, sokongan berterusan serta komitmen tinggi beliau membantu PPNS selama ini.

Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan dilantik sebagai presiden kehormat PPNS sejak 1995.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata beliau menghargai kerjasama dan sokongan erat yang diberikan oleh seluruh anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang bernaung di bawah PPNS.

Katanya, dukungan kuat semua anggota telah membolehkan PPNS bergerak sebagai sebuah organisasi yang kuat dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar, seterusnya meningkatkan sosioekonomi masyarakat peladang.

Beliau turut mengulangi komitmen PPNS membangunkan sektor pertanian dan perladangan, sekali gus membantu kerajaan mengurangkan pergantungan kepada produk import.

Dalam pada itu, Mohd Nazri yang juga timbalan pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berharap Bajet 2017 yang bakal dibentangkan pada Oktober depan turut memberi tumpuan dan perhatian bagi membela nasib masyarakat peladang. – Bernama