Salman Khan bebas tuduhan langgar lari

Salman Khan bebas tuduhan langgar lari

MUMBAI, 11 Dis (Agensi) – Bintang Bollywood Salman Khan yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian seorang mangsa di Mumbai pada 2002, telah dibebaskan Mahkamah Tinggi Bombay semalam.

Mahkamah Tinggi berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Khan tanpa sebarang keraguan yang munasabah seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang jenayah – kerana timbul anomali (kejanggalan) yang tidak dapat dijelaskan dalam bukti pendakwaan, lapor The Times of India semalam.

Khan dituduh hilang kawalan keretanya dan melarikan diri dari tempat kejadian selepas melanggar mangsa pada 2002. Khan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun.

Salman Khan duduk di dalam kereta selepas keluar dari sebuah mahkamah di Mumbai, India. – Reuters
Salman Khan duduk di dalam kereta selepas keluar dari sebuah mahkamah di Mumbai, India. – Reuters

Beliau sebelum ini tidak mengaku bersalah atas tuduhan bertanggungjawab dalam kemalangan lewat malam yang melibatkan sebuah Toyota Land Cruiser dan lima lelaki yang sedang tidur di luar kedai roti di pinggir bandar Bandra Barat.

Khan mendakwa drebarnya yang memandu kenderaan itu.

Beliau telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Rendah Mumbai pada 6 Mei lalu.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan Khan dibebaskan dengan ikat jamin pada hari yang sama dan beliau telah dipanggil bagi menghadiri rayuan semalam.

Semalam, pelakon itu sibuk berlakon dalam filem Sultan sebelum muncul di mahkamah di depan Hakim A R Joshi.