Salur khidmat nasihat perniagaan

Salur khidmat nasihat perniagaan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Bengkel Cabaran Keusahawanan Ignite 2015 yang dianjurkan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) di iCentre, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini, berhasil menarik penyertaan lebih 40 orang belia dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang jurusan yang diceburi.

Antara mereka yang menyertai bengkel selama tiga hari itu ialah pengusaha makanan dan minuman yang berharap untuk mendapat tip dan aplikasi sesuai bagi pengeluaran bahan makanan besar-besaran; pengurus perniagaan pengiriman barangan istimewa untuk meneroka kaedah serta aplikasi baru yang dapat membantu melancarkan lagi perniagaan penghantarannya; serta seorang pengusaha makanan yang ingin mendapatkan kaedah sesuai memajukan perniagaan berkonsepkan ‘cita rasa dan selera Brunei’.

Turut menyertai bengkel itu ialah seorang guru yang hadir bagi mendapatkan panduan dan bimbingan bagi memperoleh aplikasi yang boleh beliau gunakan untuk membantunya mengajar kumpulan penuntut serta seorang peserta remaja yang berminat dalam perniagaan pertanian dan ingin memiliki aplikasi yang dapat membuka peluang perniagaan baru dalam bidang pertanian.

Sehubungan itu, BEDB dalam kenyataannya hari ini berkata, bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator undangan, iaitu Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Mercatus Ventures, Raiyo Nariman, bermatlamat untuk membekalkan mereka yang berminat dengan khidmat nasihat, panduan dan bimbingan bagi menghadapi Peraduan Rancangan Perniagaan Ignite 2015 serta memahami lebih dalam mengenai trend industri baru.

Hadir pada bengkel itu ialah Pengurus Perhubungan Pihak Berkepentingan BEDB, Awang Firdaus bin Abdul Kadir.

Raiyo Nariman (berdiri) memberi penerangan mengenai konsep inovasi dalam perniagaan.
Raiyo Nariman (berdiri) memberi penerangan mengenai konsep inovasi dalam perniagaan.

Sesi bengkel dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai Cabaran Keusahawanan Ignite 2015 oleh wakil BEDB, yang mana para peserta diberi penerangan mengenai beberapa siri kelas bimbingan yang dianjurkan oleh BEDB bagi memudahkan dan membimbing penyertaan dalam Pertandingan Ignite.

Manakala dalam segmen orientasi, Raiyo Nariman memberi penerangan mengenai proses ‘ideasi’, iaitu satu proses untuk mencetuskan idea dan konsep perniagaan melalui kaedah menguji produk mereka dan mendapat maklum balas daripada orang ramai.

Manakala dalam sesi interaksi, para peserta mengongsi idea dan cadangan perniagaan asal mereka dan diberikan panduan tentang bagaimana idea itu dapat dikembangkan.

Pada sesi itu, peserta juga mendengar perkongsian pengalaman daripada pengusaha syarikat baru iCentre, terutama mengenai pengalaman dan cabaran yang mereka hadapi dan atasi. Sepanjang tiga hari berikutnya, bengkel yang dikendalikan dalam suasana interaksi informal dan santai itu akan dibahagikan kepada tiga sesi, iaitu sesi latihan yang mana setiap kumpulan akan mempelajari aspek utama metode ‘Lean Start-up’.

Peserta juga dikehendaki meluangkan masa ‘dalam dunia sebenar’ dan berusaha untuk mendapatkan pengesahan ke atas konsep yang mereka bentangkan. Bengkel itu merupakan sebahagian dari usaha berterusan BEDB untuk mempromosi dan membantu penggunaan inovasi dalam perniagaan baru di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA