Salur maklumat lebih berkesan

Salur maklumat lebih berkesan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Daerah perlu mengukuhkan lagi kerjasama dan menjadi titik fokus dalam menyalurkan maklumat yang lebih berkesan dari semasa ke semasa.

Titik fokus ini pula akan lebih strategik lagi apabila pengawasan kejiranan giat dijalankan sekali gus membebaskan kampung-kampung daripada jenayah dan gejala tidak sihat.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Majlis Perjumpaan Pasukan Polis Diraja Brunei dengan Pegawai Daerah Seluruh Negara bagi membincangkan Program Pengawasan Kejiranan di Mes Pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei hari ini.

Menurutnya lagi, perjumpaan juga diharap dapat mewujudkan hubungan baik antara kedua-dua institusi kerajaan ini selain memantapkan lagi pasukan Pengawasan Kejiranan yang merupakan projek utama pasukan polis bagi membabitkan masyarakat kampung dalam pencegahan jenayah.

Majlis perjumpaan itu juga turut dihadiri Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pegawai Daerah Belait Awang Haji Haris bin Othman, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong Awang Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Gambar ramai para kakitangan kerajaan yang mengikuti sesi perjumpaan tersebut.
Gambar ramai para kakitangan kerajaan yang mengikuti sesi perjumpaan tersebut.
Antara pegawai Polis yang menghadiri sesi perjumpaan itu.
Antara pegawai Polis yang menghadiri sesi perjumpaan itu.

Ia turut dihadiri pegawai pemerintah Daerah Polis dan pegawai penguasa balai polis keempat-empat daerah serta beberapa orang pegawai dari jabatan daerah.

Majlis perjumpaan turut menyaksikan laporan daripada Urus Setia Pengawasan Kejiranan, ASP Haji Mohammad Nor bin Haji Abdul Rahman yang juga Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei yang antaranya menyentuh mengenai latar belakang Program Pengawasan Kejiranan, pengemaskinian program, struktur pengawasan kejiranan peringkat polis dan peringkat Daerah Polis dan Balai Polis.

Selain itu, beliau turut menerangkan tugas dan tanggungjawab urus setia, jumlah ahli pengawasan kejiranan berdaftar yang sehingga kini mencecah 1,321 orang daripada 95 buah kampung berdaftar di seluruh negara, laporan bulanan bersistematik dan kekerapan kegiatan pengawasan kejiranan di semua peringkat.

Menurutnya lagi, urus setia juga sudah melaksanakan beberapa langkah bagi program pengawasan kejiranan itu seperti panduan pengawasan, pas pengawasan, ves, baju polo dan juga cap pengawasan kejiranan.

“Ini bagi memastikan Pengawasan Kejiranan lebih teratur dan mantap lagi semasa menjalankan aktiviti pengawasan terutamanya dalam operasi pencegahan jenayah,” jelas ASP Haji Mohamad Nor.

Majlis perjumpaan diteruskan dengan ucapan daripada semua pegawai dan pemangku pegawai daerah yang antaranya melahirkan harapan agar Pengawasan Kejiranan terus signifikan, menjadi sebahagian daripada segala aktiviti di setiap kampung, memberigakan segala maklumat berhubung kes-kes jenayah pada acara yang berlangsung di kampung-kampung serta memantapkan lagi ahlinya melalui latihan khusus.

ARTIKEL YANG SAMA