Salur perkembangan kardiologi

Salur perkembangan kardiologi

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Jantung ke-2 membuka tirainya hari ini dengan simposium pra-persidangan yang berlangsung di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Seramai 160 peserta yang terdiri daripada doktor-doktor tempatan, pakar perubatan profesional dan para pelajar perubatan hadir pada mesyuarat itu yang berlangsung selama tiga hari hingga 27 September.

Simposium pra-persidangan berkenaan menekankan mengenai aspek-aspek kardiologi dan persidangan yang dipengerusikan oleh Dr. Shuaib Siddiqui dan Dr. Haji Nazar Luqman.

Konsultan Pakar Radiologi di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr. Sankarakumar memulakan simposium dengan tajuk “Role of the Chest X-Ray in the A&E Department” dan diikuti dengan empat pakar kardiologi dari Negara Brunei Darussalam.

Dr. Sankarakumar dengan tajuk persidangannya, “Role of the Chest X-Ray in the A&E Department”.
Dr. Sankarakumar dengan tajuk persidangannya, “Role of the Chest X-Ray in the A&E Department”.

Majlis perasmian mesyuarat itu akan diadakan malam esok (26 September) yang dijangka akan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Pada majlis perasmian itu nanti, ucaptama bertajuk ‘New Frontiers in Cardiology’ akan disampaikan oleh Perunding Kardiologi, Pusat Jantung Universiti Kebangsaan, Singapura, Dr. Pipin Kojodjojo dan pembentangan kertas-kertas kerja.

Sementara itu, pada hari terakhir mesyuarat, sebanyak 11 kertas kerja akan dibentangkan oleh pakar-pakar kardiologi dari Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia.

Matlamat utama mesyuarat ini adalah untuk memberikan maklumat kepada orang ramai dan pakar-pakar terhadap perkembangan kardiologi selain dapat meningkatkan pendidikan dan latihan dalam bidang kardiologi di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA