Saluran paip minyak Nigeria dibom lagi

Saluran paip minyak Nigeria dibom lagi

LAGOS, 19 Julai – Para militan yang mengebom saluran paip minyak milik kerajaan di selatan Nigeria kelmarin telah mengakibatkan tumpahan minyak besar-besaran, dalam serangan terbaru di infrastruktur minyak negara itu, kata pegawai industri.

“Saluran paip itu dioperasi oleh Syarikat Pemasaran Produk dan Saluran Paip (PPMC) di Batan berhampiran Warri. Ia telah diletupkan awal kelmarin (Isnin),” kata pegawai kanan di sebuah firma minyak besar kepada AFP hari ini.

PPMC merupakan subsidiari Syarikat Petroleum Kebangsaan Nigeria, yang menjalankan usaha sama dengan firma-firma seperti Anglo-Dutch Shell, firma AS, Chevron dan Exxon, Eni dari Itali dan Total dari Perancis.

Pegawai yang diminta tidak dinamakan, berkata saluran paip itu baru saja diperbaiki selepas ia dibom bulan lalu.

Serangan terbaru itu telah mengakibatkan ‘tumpahan besar minyak mentah di kawasan berkenaan’, kata pegawai yang menyeru pihak berkuasa untuk melancarkan pembersihan itu. – AFP