Sama-sama bersihkan pantai

Sama-sama bersihkan pantai

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Sept – Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV), Shell Deep Water (BDW) dan Brunei Gas Carrier (BGC), kelmarin, telah mengadakan kempen kebersihan di beberapa kawasan pantai di negara ini termasuklah di Daerah Belait, Tutong serta Brunei dan Muara.

Kempen ini adalah bersempena ‘International Coastal Cleanup 2016’ yang dianjurkan oleh ketiga-tiga buah syarikat berkenaan dan meliputi kawasan-kawasan persisiran Pantai Lumut dan Sungai Liang di Kuala Belait, Danau dan Penabai/Kuala Tutong di Daerah Tutong dan kawasan persekitaran Pantai Tungku dan Meragang di Daerah Brunei dan Muara.

Di kawasan Pantai Danau dan Pantai Penabai/Kuala Tutong, kempen dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam selaku tetamu kehormat.

Turut hadir semasa kempen di Pantai Danau ialah Pemangku Ketua Kampung Danau, Haji Abdullah bin Haji Mohd Tahir dan Ketua Pusat Penemuan Minyak dan Gas, BSP, Haji Irwandy bin Haji Lois.

Hadir sama-sama memeriahkan kempen ialah ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Danau, Pengawasan Kejiranan Kampung Danau, Daerah Polis Tutong, persatuan ibu bapa dan guru-guru bersama murid-murid Sekolah Rendah Danau serta penduduk kampung.

Gotong-royong semasa kempen kebersihan di Kawasan Pantai Danau.
Gotong-royong semasa kempen kebersihan di Kawasan Pantai Danau.

Sementara itu, kempen di Pantai Penabai/Kuala Tutong pula turut disertai ahli-ahli MPK, penduduk Kampung Penabai/Kuala Tutong serta kakitangan dan pekerja Perusahaan Seri Melati.

Sebanyak 544 kilo sampah termasuk 34 biji tayar telah dikutip di kawasan persisiran Pantai Penabai/Kuala Tutong.

Kempen kebersihan tersebut turut dihadiri oleh Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong, Haji Mumin bin Abdul Razak selaku Pemangku Sementara Ketua Kampung Penabai/Kuala Tutong serta pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong.

Antara tujuan kempen ini adalah bagi menggalakkan pemuliharaan dan penjagaan kebersihan alam sekitar yang melibatkan kesukarelawan antara kakitangan dan pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat, belia-belia dan ahli MPK bersama masyarakat setempat.

Di samping itu, ia juga mendedahkan masyarakat dan orang ramai mengenai pentingnya menjaga kebersihan di kawasan persisiran pantai kerana ia melibatkan kesihatan, hidupan liar dan ekonomi negara.

Kempen kebersihan ini dengan secara tidak langsung adalah sebagai kesinambungan daripada Kempen Kebersihan Bersepadu yang telah diadakan pada 10 September 2016 yang lalu dalam sama-sama menjaga alam persekitaran kampung yang bersih serta dapat mengurangkan tempat pembiakan nyamuk-nyamuk yang boleh membawa berbagai-bagai penyakit seperti Denggi dan virus Zika.

Dengan persekitaran kampung yang bersih akan dapat menarik para pengunjung dan pelancong dengan tidak secara langsung akan dapat meningkatkan perekonomian penduduk-penduduk kampung melalui Satu Kampung Satu Produk (1K1P) serta menjadikan Kampung Penabai/Kuala Tutong sebagai salah satu tempat destinasi pelancongan selaras dengan pelan strategik Jabatan Daerah Tutong untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai destinasi pelancongan.

ARTIKEL YANG SAMA