Sama-sama cegah jenayah

Sama-sama cegah jenayah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Jun – Seramai 11 anggota Balai Polis Seria bersama 11 ahli Pengawasan Kejiranan Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan terlibat dalam Operasi Rondaan dan Pencegahan Jenayah di Kawasan Perumahan STKRJ Lorong Tiga, malam kelmarin.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Seria P/ASP, Haji Mohd Helmi bin Haji Abdullah dan disertai sama Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap dan Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan, Haji Saidin bin Haji Ibrahim.

Rondaan berjalan kaki dan juga menggunakan kenderaan di sekitar kawasan kampung berkenaan turut membuat pemeriksaan ke atas beberapa buah berek kosong di kawasan Lorong Tiga Seria.

Bagaimanapun, operasi bermula kira-kira 11:30 malam itu tidak mengesan sebarang aktiviti jenayah.

Sementara itu, dalam operasi berasingan malam kelmarin, seramai 14 anggota Balai Polis Sungai Liang bersama lima anggota Polis Keselamatan Padang Minyak LNG Lumut serta dua Skuad Tindakan Segera, Ibu Pejabat Panaga membuat rondaan di sekitar kawasan Kampung Sungai Liang dan Lumut.

Operasi turut dilaratkan dengan pemeriksaan ke atas rumah sewa warga asing di Kampung Sungai Tali Lumut.
Operasi turut dilaratkan dengan pemeriksaan ke atas rumah sewa warga asing di Kampung Sungai Tali Lumut.

pg06_150613_b

Rondaan menggunakan kenderaan polis dan kereta persendirian di sekitar Kampung Sungai Liang, Kampung Sungai Bakong, Kampung Lumut dan Kawasan Perumahan Kampung Lumut turut dilaratkan dengan pemeriksaan ke atas dua buah rumah sewa warga asing di kawasan Kampung Sungai Tali Lumut.

Sekatan jalan raya di kawasan Jalan Kecil Kampung Lumut 2 juga diadakan yang diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Sofian bin Haji Kifli, bagaimanapun sepanjang operasi yang berakhir kira-kira 2 pagi itu tiada mengesan sebarang kesalahan jenayah.

ARTIKEL YANG SAMA