Sama-sama cegah jenayah

Sama-sama cegah jenayah

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 2 Feb – Sembilan orang anggota polis dari Balai Polis Kuala Belait bersama enam orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan C telah membuat operasi rondaan pencegahan jenayah.

Rondaan dijalankan secara berjalan kaki dan menggunakan kenderaan di sekitar kawasan Kampung Pandan C, termasuk kawasan Sekolah Menengah Sayidina Ali, dan di persekitaran Masjid Pandan.

Tempat-tempat yang menarik perhatian adalah rumah-rumah kosong dan sebagainya yang turut dilawati dalam rondaan berkenaan.

Operasi diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait, ASP Wan Firdaus bin Haji Mohd Aminuddin. Turut menyertai operasi malam kelmarin ialah Haji Affandy bin Haji Awang Damit.

Anggota polis bersama enam orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan C yang terlibat dalam operasi rondaan pencegahan jenayah.
Anggota polis bersama enam orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan C yang terlibat dalam operasi rondaan pencegahan jenayah.
Antara mereka yang terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah di kawasan Mukim Sengkurong.
Antara mereka yang terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah di kawasan Mukim Sengkurong.

Menurut kenyataan pihak polis, tidak ada sebarang aktiviti jenayah dikesan semasa rondaan dan operasi yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam 2 pagi itu.

Sementara itu, baru-baru ini, Balai Polis Sengkurong bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Lugu/Katimahar, turut menjalankan rondaan pencegahan jenayah di seluruh kawasan Mukim Sengkurong.

Rondaan yang melibatkan 10 orang anggota Balai Polis Sengkurong, dua anggota Skuad Tindakan Segera, Daerah Polis Brunei dan Muara berserta 11 orang ahli Pengawasan Kejiranan itu diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Inspektor Abdul Shahrimin bin Abdul Rahman dan turut dihadiri Ketua Kampung Lugu/ Katimahar, Mukim Sengkurong, Awang Salim bin Adi.

Bermula jam 11:20 malam, rondaan telah dibahagikan kepada empat sektor dengan sektor 1 melibatkan Kampung Lugu/Katimahar termasuk STKRJ Kampung Lugu, Kampung Tanjong Nangka, Kampung Kulapis dan Kampung Bukit Panjang.

Sektor 2 merangkumi sekitar Ban 1 hingga 6, Kg Sg Tampoi, Jalan Pasai 1 dan 2, Jalan Paya Bunga Merah, Jalan Lubuk Sigurun, Kampung Mulaut, Jalan Mulaut-Tanjong Nangka.

Sektor 3 termasuk sekitar Kampung Sengkurong A dan B, Kampung Selayun, Kampung Tagap, Kampung Peninjau, Kampung Tanjung Bunut kanan, kawasan komersial Sengkurong A dan Tanjong Bunut.

Manakala sektor 4 pula melibatkan sekitar Kampung Jerudong, Taman Permainan Jerudong, Kampung Kubu Pulau.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam rondaan sepadu itu, tujuh buah kenderaan dan 10 orang awam telah diperiksa, bagaimanapun tiada kesalahan melanggar undang-undang didapati. Rondaan berakhir pada jam 1:20 pagi.

ARTIKEL YANG SAMA