Sama-sama hindari Zika

Sama-sama hindari Zika

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Islam sangat mementingkan soal kebersihan dan kesihatan dan menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga kebersihan serta mewujudkan suasana selesa walau di mana pun berada, kerana ia akan menghindari mereka daripada sebarang penyakit dan hidup tenang.

Jika tidak bersih persekitaran, penyakit akan sering berada di sekeliling, terutamanya masa sekarang di mana dunia digemparkan dengan penyakit berjangkit bawaan nyamuk aedes, virus Zika.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai virus Zika yang menurutnya, simptom-simptom dijangkiti virus ini antaranya ialah demam panas berpanjangan, mata merah, pening kepala, sakit sendi dan ruam kulit.

Jika jangkitan virus Zika ini terkena kepada ibu-ibu mengandung, ia boleh menyebabkan kecacatan kelahiran serius iaitu saiz kepala anak damit lebih kecil berbanding biasa dan lain-lain kecacatan otak yang teruk, jelas khatib.

Sehubungan itu, sebagai penduduk dan rakyat di negara ini, khatib mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan menghapuskan nyamuk dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk dan sering memeriksa kawasan persekitaran rumah atau bangunan agar ia bebas daripada pembiakan nyamuk.

Khatib juga menyeru orang ramai membersihkan longkang yang tersumbat agar air tidak bertakung, tutup rapat atau kosongkan semua tempat penyimpanan air yang tidak digunakan lagi seperti baldi, tong dan sebagainya, di samping menggunakan racun penghalau nyamuk yang dibolehkan.

“Selain langkah pencegahan, sentiasalah memohon pertolongan daripada Allah S.W.T melalui doa dan zikir kerana dengan zikrullah ia dapat menenteramkan dan menenangkan jiwa selain hidup makmur dan bahagia.

“Sebagai rakyat yang prihatin dan sayang kepada negara, kita perlu sama-sama berganding bahu dan menyokong usaha pengawalan secara berterusan kerana rakyat yang berpenyakit secara fizikalnya akan lemah, kesihatan mental juga turut terjejas dan kualiti kehidupan sesuatu bangsa juga akan terancam,” kata khatib lagi.

“Wabak ini boleh dikawal sebaik mungkin jika langkah pencegahan ini mendapat kerjasama semua pihak dan selaku umat Islam, sama-samalah mempertingkatkan usaha dengan berdoa dan berzikir kepada Allah,” tambahnya.

Mudah-mudahan dengan usaha, doa dan amalan zikir yang telah dilakukan, negara akan terselamat dan terhindar daripada segala penyakit dan bala bencana serta aman damai dan sentiasa dalam perlindungan serta rahmat Allah.

ARTIKEL YANG SAMA