Sama-sama jaga kebersihan

Sama-sama jaga kebersihan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung khususnya kalangan penduduk Skim Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu, terus diperkukuhkan apabila mereka bersama-sama Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, mengadakan kempen kebersihan membersihkan kawasan tepi jalan raya menuju ke kawasan perumahan negara berkenaan di Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Menurut Awang Muhammad Nur Hadi bin Haji Ali, kempen kebersihan yang kali pertama dianjurkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Penduduk Kampung berkenaan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung.

Beliau menjelaskan bahawa kempen itu dihasratkan untuk menanamkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan penduduk kampung dalam sama-sama menjaga kebersihan kawasan sekeliling skim perumahan berkenaan.

Di samping itu, tambahnya lagi, ia dihasratkan untuk mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim serta menanamkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk khususnya bagi sama-sama menghulurkan bantuan dalam apa jua kegiatan yang dilaksanakan supaya mereka dapat hidup dalam suasana kampung yang sihat dan harmoni.

Pada masa yang sama, Awang Muhammad Nur Hadi menyeru para penduduk kampung untuk sentiasa peka terhadap sebarang kegiatan negatif atau mencurigakan yang berlaku di kampung berkenaan.

Para penduduk yang terlibat dalam kempen membersihkan kawasan tepi jalan raya menuju ke kawasan perumahan bersama JASTRe.
Para penduduk yang terlibat dalam kempen membersihkan kawasan tepi jalan raya menuju ke kawasan perumahan bersama JASTRe.

Beliau turut mengongsikan bahawa pada 2015, penduduk kampung berkenaan telah berjaya menahan seorang yang cuba untuk mencuri wayar kabel di kampung berkenaan.

Beliau turut menyatakan harapan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk kampung itu akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi manfaat semua penduduk kampung di mana pada masa ini, kampung itu mempunyai kira-kira 1,000 orang penduduk.

Manakala itu, Pegawai Alam Sekitar, Awang Mohd Akmal Fikry bin Yusra yang mengetuai seramai lima orang pegawai dari JASTRe dalam kempen itu, amat mengalu-alukan usaha serta inisiatif yang dilaksanakan oleh penduduk kampung dalam mengadakan kempen berkenaan.

Beliau berkata bahawa JASTRe amat mengalu-alukan dan menyokong usaha para penduduk untuk menjaga kebersihan persekitaran kampung mereka.

Semasa kempen itu, jabatan berkenaan menghulurkan bantuan daripada segi logistik dengan menyediakan kemudahan trak untuk membawa sampah yang dikumpulkan ke kawasan pembuangan sampah.

Beliau juga menyatakan harapan supaya kampung-kampung lain juga akan melaksanakan inisiatif serupa pada masa akan datang.

Kempen kebersihan itu bermula dari pukul 8:30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 10:30 pagi.

ARTIKEL YANG SAMA