Sambari dipen...

Sambari dipenjara 68 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Meskipun pernah dihukum penjara atas kesalahan menipu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun tidak pernah menjadikan kesilapannya sebagai pengajaran apabila sekali lagi dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan yang sama.

Mohammad Sambari bin Haji Abu Bakar dijatuhi hukuman 68 bulan penjara oleh Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman selepas mengaku bersalah atas 12 pertuduhan kerana menipu beberapa individu dan syarikat, dengan menggunakan identiti palsu atau kad pengenalan milik orang lain untuk mendapatkan kereta dan wang.

Dalam menjatuhkan hukuman, Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien berkata, apa yang dilakukan tertuduh adalah jenayah serius di mana tertuduh menggunakan identiti pegawai awam untuk membolehkannya menyewa atau menjual kereta.

Perbuatan tertuduh itu bertujuan untuk mendapatkan keuntungan daripada jenayah yang dilakukannya dan ia telah menyebabkan kerugian kewangan kepada mangsa-mangsanya akibat rancangannya itu.

Hukuman berat perlu diberikan, kerana mangsa dalam kes ini membabitkan syarikat sewa kereta dan adalah penting untuk melindungi persekitaran perniagaan di negara ini, tegas Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien juga memerintahkan tertuduh untuk membayar ganti rugi berjumlah $10,890 kepada mangsa-mangsa dalam tempoh tiga bulan dan jika gagal akan berdepan tambahan tiga bulan penjara.

Tertuduh, antara 29 Disember 2016 dan 29 Mac 2017 dalam tujuh kejadian berasingan, telah memperolehi 16 buah kereta daripada beberapa buah syarikat sewa kereta dengan berpura-pura berminat untuk menyewa kereta mereka.

Tertuduh tidak mempunyai niat untuk mengembalikan kereta itu sebaliknya ingin menjual kereta itu kepada pembeli.

Dia juga mengaku bersalah kerana menipu beberapa individu untuk memberinya wang $10,890 untuk pertukaran kereta yang tidak wujud.

Untuk lima lagi tuduhan, tertuduh telah menyamar sebagai seorang pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri kepada sebuah syarikat sewa kereta.

Dalam satu kes, tertuduh telah meminta salah seorang mangsanya untuk membuat pembayaran tambahan berjumlah $6,000 untuk menukarkan kereta Camry milik mangsa kepada kereta Toyota Fortuner yang dijanjikan tertuduh.

Mangsa yang gagal untuk menghubungi tertuduh mula curiga apabila Toyota Fortuner yang dijanjikan tidak pernah diserahkan kepadanya. Laporan polis telah dibuat oleh mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali terdahulu telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman berat memandangkan tertuduh sebelum ini pernah melakukan kesalahan yang serupa, tambahan lagi tertuduh baru sahaja dibebaskan daripada penjara.