Sambut baik kedatangan penuntut baru

Sambut baik kedatangan penuntut baru

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Bagi menyambut baik kedatangan mahasiswa dan mahasiswi baru Universiti Brunei Darussalam (UBD) khususnya pengambilan Kursus Kesusasteraan Melayu, Majlis Doa Selamat bagi Kemasukan Siswa/Siswi Kesusasteraan Melayu sesi 2016/2017 telah diadakan di lorong Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), UBD, kelmarin.

Bagi memeriahkan majlis itu, majlis diteruskan dengan rumah terbuka bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Kelab Rampun Kesenian Insan Seni/Sastera (RAKIS), UBD

Hadir di majlis tersebut ialah para pensyarah dan mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 hingga Tahun 4 Program Bahasa Melayu, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu serta Program Sejarah.

Majlis turut diserikan lagi dengan mengadakan peraduan sampul raya bertuah anjuran Kelab RAKIS, kuiz meneka nombor siri wang $5 dan peraduan pakaian raya tercantik bagi lelaki dan perempuan.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh pensyarah daripada Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Dr Haji Ramlee bin Haji Tinkong.

Acara yang dijalankan sekitar jam 11:30 pagi hingga 3 petang itu bertujuan untuk merapatkan silaturahim antara siswa-siswi baru dan lama bersama pensyarah-pensyarah Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu selain menyambut kedatangan siswa-siswi yang baru masuk ke UBD terutama yang mengambil jurusan kesusasteraan.

ARTIKEL YANG SAMA