Sambut baik keputusan kerajaan

Sambut baik keputusan kerajaan

Oleh Arissa

LAWAS, 13 Ogos – Sarawak menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia dan Brunei yang bersetuju mewujudkan kawasan menangkap ikan bersama di kawasan perairan Teluk Brunei.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata keputusan untuk mewujudkan kawasan menangkap ikan secara bersama penting bagi membolehkan nelayan tempatan tidak akan dihalang memasuki kawasan tradisi mereka.

“Keputusan untuk mewujudkan kawasan menangkap ikan bersama antara kedua-dua negara amat penting bagi mengelak nelayan tempatan ditangkap ketika memasuki perairan Teluk Brunei.

“Keputusan itu juga menunjukkan kerajaan amat prihatin dalam membela kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Stadium Tertutup Lawas hari ini.

Tan Sri Adenan (tiga dari kanan) ketika menyerahkan sampul hijau kepada anak-anak yatim di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Lawas, Sarawak.
Tan Sri Adenan (tiga dari kanan) ketika menyerahkan sampul hijau kepada anak-anak yatim di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Lawas, Sarawak.

Turut sama ialah isteri Adenan Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengadakan rundingan bersama pada Majlis Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Ke-19 di Istana Nurul Iman bagi membincangkan beberapa perkara membabitkan kepentingan kedua-dua negara.