Sambut Hari Keluarga di McD

Sambut Hari Keluarga di McD

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Restoran makanan segera McDonald mengalu-alukan orang ramai terutama seisi keluarga untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Keluarga ke-4 dengan berkunjung dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang telah diaturkan, pada 3 Mei ini bermula 9 pagi.

Sambutan yang bakal diadakan di premis McDonald itu adalah selaras dengan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang bertemakan Keluargaku Berwawasan.

Perunding Konsultan Makan Ceria Sdn Bhd, Awang Mohd Nazrol bin Majid, Pegawai Eksekutif Sumber Tenaga, Makan Ceria Sdn Bhd, Dayang Noor Hafilah binti Haji Mohamed Salleh, dan Awangku Mohd Radhi bin Pengiran Nordin dari Brunei Vines Video semasa sidang media di McDonald, Gadong, hari ini, mengongsikan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan pada hari itu nanti.

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk melukis muka, kuiz dan permainan, serta mengetengahkan artis tempatan, Kumpulan Bracunz.

McDonald turut menyediakan sesi bergambar bermula 10 pagi untuk pengunjung atau keluarga yang membeli hidangan dalam satu resit tanpa mengira harga pembelian.

(Dari kanan) AwangMohd Nazrol, Dayang Noor Hafilah dan Awangku Mohd Radhi menerangkan aktiviti yang bakal menanti pengunjung.
(Dari kanan) AwangMohd Nazrol, Dayang Noor Hafilah dan Awangku Mohd Radhi menerangkan aktiviti yang bakal menanti pengunjung.

Aktiviti lain yang disediakan termasuk lukisan karikatur bersama Rezuan dari jam 2 hingga 4 petang di mana pengunjung atau keluarga yang membeli hidangan lebih $30 dalam satu resit berpeluang untuk mendapatkan lukisan karikatur mereka secara percuma.

Memeriahkan lagi sambutan Hari Keluarga McDonald itu nanti adalah penampilan daripada Brunei Vines Video di mana 10 peminat bertuah yang terpilih dalam Instagram berpeluang untuk menikmati hidangan tengah hari bersama ahli-ahli Brunei Vines.

Penampilan maskot dari 12 tengah hari hingga 3 petang semasa sambutan itu nanti akan turut memberi keseronokan kepada kanak-kanak. Sepanjang sambutan itu juga, McDonald akan memberi belon secara percuma kepada setiap kanak-kanak di samping menawarkan promosi beli satu mana-mana perisa McCafe Ais dan dapatkan satu lagi secara percuma, serta turut menawarkan tiga pilihan hidangan pakej keluarga pada harga yang berpatutan.

Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan diadakan setiap hari Ahad pertama bulan Mei yang melibatkan penyertaan semua peringkat masyarakat di keempat-empat daerah.

ARTIKEL YANG SAMA