Sambut Hari Wanita dengan penerbangan 100% wanita

Sambut Hari Wanita dengan penerbangan 100% wanita

NEW DELHI, 8 Mac (Bernama) – India menyambut Hari Wanita Antarabangsa hari ini dengan cara tersendiri bagi menampilkan kemampuan golongan itu dalam segenap bidang.

Jika kebanyakan negara menyambut acara itu dengan menganjurkan persidangan, seminar dan doa, India mencipta sejarah apabila ia mengadakan penerbangan paling jauh yang dikendalikan sepenuhnya oleh wanita iaitu dari New Delhi ke San Francisco, Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan media, Air India berkata ia merupakan kali pertama penerbangan sejauh itu – penerbangan tanpa henti paling jauh di dunia – dikendalikan sepenuhnya oleh anak kapal wanita syarikat itu.

Katanya, pesawat berkenaan, yang berlepas dari ibu negara India ini pada 6 Mac, melakukan penerbangan tanpa henti selama hampir 17 jam melibatkan jarak kira-kira 14,500 kilometer.

“Tahun ini, untuk julung kalinya, bagi penerbangan tanpa henti paling jauh di dunia, keseluruhan operasi penerbangan, daripada kru kokpit hinggalah kepada kru kabin, staf pendaftaran masuk, doktor, staf penjagaan pelanggan, ATC (kawalan trafik udara) dan keseluruhan urusan pengendalian di darat…semuanya dilakukan wanita,” katanya.

Menurut kenyataan itu, setiap tahun, Air India mengadakan beberapa penerbangan yang dikendalikan sepenuhnya petugas wanita bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Tahun lepas, syarikat itu mengadakan empat penerbangan kendalian 100 peratus wanita ke destinasi domestik dan antarabangsa, dengan sebuah pesawat diterbangkan dua juruterbang, yang menjadi sebahagian daripada petugas yang mengendalikan penerbangan serupa bagi laluan Delhi-Melbourne pada 1985.

ARTIKEL YANG SAMA