Sambut kedatangan pesuruhjaya tinggi baru

Sambut kedatangan pesuruhjaya tinggi baru

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, hari ini, mengadakan resepsi minum petang bagi meraikan upacara penyerahan watikah pelantikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam yang baru, Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman.

Kehadiran beliau diiringi oleh isteri, Datin Rusziah binti Ghulamdin dan anak-anak, Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Fadilah binti Roy Ismail, Setiausaha Kedua, Mohd Ariffen bin Mohd Rasihe, Setiausaha Ketiga, Izdzatun Nasyiah binti Mustafa dan Penasihat Pertahanan, Kolonel Kamarudzaman bin Mohd Thani.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Pelancongan Malaysia Brunei Darussalam, Rugayah binti Mohamad serta Pengurus Negara, Marina binti Mohd Taib dan Ketua Bahagian Kewangan, Azlina binti Abdul Aziz dari Petronas Carigali Brunei Limited.

TYT Datuk Ghulam Jelani (enam kanan) bersama pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.
TYT Datuk Ghulam Jelani (enam kanan) bersama pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.

Menurut Timbalan Ketua Perwakilan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Rafedah binti Abdul Aziz, resepsi yang dihadiri oleh warga pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, wakil syarikat-syarikat berkaitan kerajaan Malaysia di Brunei dan media tempatan itu diadakan sejurus selepas upacara penyerahan surat watikah pelantikan TYT Datuk Ghulam kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada upacara khas yang berlangsung di Istana Nurul Iman, awal hari ini.

Tuan Yang Terutama menggantikan mantan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak bin Awang Salleh.

ARTIKEL YANG SAMA